Anda di sini

Ikan laga jadi buruan peminat ikan hiasan walaupun mencecah ribuan ringgit

Advertisement
HALF MOON PLAKAT (HMPK) REDFANCY
HALF MOON PLAKAT (HMPK) REDFANCY

IKAN laga atau nama saintifiknya Betta Splendens dalam keluarga Anabantidae yang dianggap sebagai ikan hiasan paling popular masa kini, kini menjadi buruan peminatnya.

Keunikkan dengan mempunyai warna yang menarik, ekor yang cantik apabila bergerak (berenang) serta sifat yang suka berlaga antara satu sama lain turut mempunyai peminat tersendiri, tidak kira golongan tua atau generasi muda.

Saiznya cuma sebenar jaring kelingking kanak-kanak, pasti ramai yang tidak menyangka ikan laga ini juga mempunyai nilai komersial disebabkan keunikan dan kecantikan yang terdapat pada ikan itu sendiri yang mana nilainya mampu mencecah ribuan ringgit.

 Asmawie bersama anak lelakinya melihat kecantikan ikan laga miliknya.
MEMUKAU: Asmawie bersama anak lelakinya melihat kecantikan ikan laga miliknya.

 Secara asas, ikan air tawar ini boleh dibeli serendah RM3 seekor, namun harganya boleh mencecah ratusan ringgit dan jika terdapat keunikan seperti spesis albino, harga boleh menjangkau sehingga RM5 ribu seekor atau lebih dari itu.

Ikan laga yang dikatakan berasal dari kawasan Kemboja dan juga Thailand ini rumit untuk dijaga berbanding dengan ikan hiasan lain.

Ikan ini tidak boleh diletakkan di dalam bekas yang sama dan jika anda perasan, mereka yang menjual ikan laga ini, meletakkan ikan dalam bekas yang berasingan supaya tidak bergaduh sehingga membunuh atau mengalami kecederaan.

Selain itu, air yang ingin digunakan pula perlu bebas klorin dan perlu ditukar dua hari sekali untuk mengelakkan ikan daripada sakit dan untuk makanannya pula cuma cacing rambut, plankton atau kutu air dan jentik-jentik.

Asmawie tukar hobi, pelihara ikan laga

 Bagi seorang peminat ikan laga, Mohd Nurfitri Asmawie, 21, berasal dari Sandakan, Sabah menjadikan hobi pelihara ikan laga sebagai ikan perhiasannya dikediamannya bermula pada awal tahun ini.

 Pada mulanya, Asmawie memiliki sepasang ikan laga jenis half moon yang dibagi oleh dua orang rakan karibnya telah menimbulkan minat mendalam hobinya pelihara ikan berkenaan.

Beliau berkata hobinya dahulu memancing ikan di perairan Sandakan setiap hujung minggu, kini bertukar menjadi pencinta ikan laga semasa arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh pihak berkuasa pada bulan Mac lepas.

Asmawie kemudiannya menambah tiga ekor lagi ikan laga selepas tertawan dengan keindahan dan keunikkan ikan berkenaan.

“Sifat agresif ikan laga yang suka menonjolkan bentuk fizikal dan kecantikan serta kelembutan terutamanya ekor apabila berenang telah memukau satu kepuasan terhadap peminatnya seperti saya,” katanya ketika ditemui.

Dengan minat mendalam, Asmawie telah membelanjakan ribuan ringgit bagi membeli peralatan serta keperluan ikan laga dan pelbagai jenis ikan laga dari harga rendah hingga ratusan ringgit bagi memenuhi kepuasan hobinya.

Beliau yang bekerja sebagai penghantar barang berkata ayahnya juga kini telah mula memelihara ikan laga yang turut ditempatkan diruangan rumahnya.

“Ayah saya yang merupakan seorang penulis kini memiliki hobi yang sama setelah dia datang ke rumah saya beberapa kali bagi melawat cucu lelakinya,” katanya.

Beliau berkata jenis ikan laga yang popular seperti half moon, half moon plakat, crown tail, doubletail plakat, double half moon dan giant, manakala coral pada ekornya pula seperti rama-rama, salamander, bi-coby, dragon, marble dan koi.

“Jenis ikan yang ada dijual di pasaran juga termasuk ikan laga tempatan atau betta bellica dan laga Siam (betta splendens) yang dibezakan menerusi bentuk ekornya iaitu laga tempatan ekornya pendek sementara laga siam berekor panjang terurai,” katanya.

Ikan laga perlu menjagaan rapi

Asmawie turut mengakui penjagaan ikan ini agak rumit sedikit berbanding ikan hiasan lain yang mana memerlukan penjagaan rapi bermula dari segi penggunaan air dan pemberian makanan yang merupakan dua aspek penting untuk memastikan peratusan ikan laga peliharaan hidup dengan baik.

Beliau berkata air perlu diganti tiga atau lima hari sekali mengikut saiz bekas ikan digunakan, sementara makanan pula perlu diberi sebanyak dua kali sehari selain memastikan kandungan air tidak terlalu banyak dalam bekas plastik.

“Pastikan saiz bekas yang digunakan sesuai dengan ikan laga, jangan guna bekas yang terlalu sempit kerana itu akan menghadkan pergerakan ikan. Bekas lutsinar membolehkan kita melihat kecantikan ikan dan jangan letak ikan dalam tin kerana tin akan berkarat,” katanya.

Beliau berkata bersihkan bekas ikan sekurang-kurangnya ketika proses menukar air dilakukan untuk pastikan ikan laga dalam keadaan sihat dan baik.

Asmawie berkata ikan laga juga sangat sukakan makanan hidup seperi jentik-jentik dan kutu air yang boleh diberi makan seminggu sekali selain makanan ikan berbentuk pellet mengikut saiz sesuai.

“Pastikan juga dalam memberi makan ikan laga, jangan berlebihan kerana ikan laga adalah ikan yang tidak banyak makan,” jelasnya.

Katanya, bagi memastikan ikan laga tidak mati, kualiti air perlu diberi perhatian serius dengan menjaga penggunaan air dan menggunakan proses tapisan sepenuhnya.

“Perlu diingatkan pastikan tambah ubat anti-klorin jika menggunakan air paip dan pastikan juga suhu air yang ditukar sama dengan air lama bagi mengelakkan perubahan suhu mengejutkan yang boleh membawa maut kepada ikan laga,” katanya.

Asmawie berkata kaedah penggunaan garam kasar dan daun pokok ketapang juga dilakukan bagi menurunkan kadar peratusan asid di dalam air.

“Penggunaan daun pokok ketapang berupaya untuk menurunkan nilai pH dalam air yang beralkali. Ianya juga berupaya untuk membunuh bakteria, bertindak sebagai anti fungus dan agen anti kulat, meningkatkan tahap kualiti air dan bertindak sebagai bahan tonik bagi kegunaan di dalam bekas ikan atau akuarium,” katanya.

Beliau memberitahu daun pokok ketapang bukan sahaja boleh digunakan untuk memastikan ikan laga sihat dan aktif tetapi bahkan ia juga boleh digunakan sebagai bahan semulajadi untuk merawat dan menghalang penyakit ikan.

Letak tumbuhan, kayu hiasan

Asmawie berkata meletakkan tumbuhan air dalam bekas ikan sebenarnya adalah sangat penting dalam memelihara ikan perhiasan.

“Tumbuhan berguna kerana ia hidup dengan menggunakan bahan yang dikumuh oleh ikan selain memberi kesan yang baik kepada air dalam bekas agar sentiasa bersih dari bahan-bahan yang tidak dikehendaki,” katanya.

Beliau berkata pemilihan tumbuhan air juga perlulah sesuai dan elak tumbuhan yang mengotorkan air serta tumbuhan yang cepat mati.

Dalam mengurangkan stress ikan laga, Asmawie berkata meletakkan kayu hiasan atau sebagainya untuk dijadikan tempat ikan laga bermain, menyorok dan berenang mengelilinginya adalah salah satu menggembirakan ikan.

“Kita juga perlu memastikan barang kayu hiasan, pokok palsu atau barang hiasan lain cukup bersih.. ini penting, sebelum diletakkan ke dalam bekas ikan atau akarium bagi elak mengandungi bakteria, alga atau kulat yang boleh membunuh ikan laga,” katanya.

FCCP RED BASE
FCCP RED BASE

Berjinak menternak ikan laga secara komersial

Dengan minat yang lebih mendalam, Asmawie kini mula berjinak-jinak untuk menternak ikan laga secara komersial pada masa hadapan.

Beliau kini mula belajar untuk menternak ikan laga dengan memulakan proses pembiakan induk yang dipeliaranya.

“Ini bukanlah satu perkara mudah untuk dilakukan kerana kedua-dua induk segar dan terbaik perlu dipilih sebelum melakukan proses pembiakan,” katanya.

Beliau akan berusaha mencari induk jantan dan betina sama ada jenis yang sama atau berbeza bagi menghasilkan baka ikan laga yang berkualiti untuk dipasarkan.

Asmawie berkata kaedah menternak ikan laga dipelajari dari beberapa orang rakan berpengalaman yang telah membuka kedai ikan laga, selain mempelajarinya melalui youtube.

Menyedari potensi ikan itu yang kini menjadi kegilaan peminat ikan laga, beliau banyak melakukan proses kacukan bagi mendapatkan baka lebih menarik dan yang mampu untuk dijual dengan harga yang baik.

  • oleh
  • Advertisement