Anda di sini

 87 individu ingkar SOP dikompaun di Kuching

Advertisement
Antara individu yang didapati gagal mematuhi penjarakan fizikal ketika berada di premis makanan di sekitar Kuching.
Antara individu yang didapati gagal mematuhi penjarakan fizikal ketika berada di premis makanan di sekitar Kuching.

KUCHING: Seramai 87 individu dikompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini. 

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, kesemua mereka warga tempatan terdiri daripada 74 lelaki dan 13 wanita didapati gagal mematuhi SOP PKPP sepanjang pemeriksaan yang dijalankan bagi tempoh 19 hingga 25 Oktober 2020.

"Kesemua mereka gagal mematuhi SOP PKPP bagi kesalahan tiada penjarakan fizikal, tidak memakai pelitup muka di tempat awam, premis gagal menyediakan peralatan untuk sanitasi dan juga premis gagal menyediakan buku untuk menulis butiran pelanggan yang datang serta QR Code My Sejahtera. 

"Kesemua pemeriksaan ini dijalankan di sekitar bandaraya Kuching dan individu-individu terbabit dikenakan tindakan kompaun RM1,000 setiap seorang yang perlu dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh 14 hari," tegasnya dalam kenyataan hari ini. 

Dalam pada itu, Awang Din memberitahu, sepanjang tempoh tersebut juga, polis telah menjalankan 14 pemeriksaan ke atas premis-premis dan tempat tumpuan awam di sekitar bandar raya ini. 

"Kesalahan utama masyarakat awam di sini adalah tidak mengamalkan penjarakan fizikal antara sesama mereka dan terdapat juga sesetengah individu memberikan alasan mereka tidak diberitahu berkenaan penjarakan fizikal di dalam premis (restoran) oleh pengusaha premis. 

"Akan tetapi ia bukan satu alasan dikecualikan daripada kompaun kerana kerajaan sentiasa menguar-uarkan setiap hari berkenaan SOP yang perlu dipatuhi dalam membendung rantaian penularan COVID-19 ini," jelasnya. 

Tambahnya, manakala satu lagi  pemeriksaan di tempat letak kereta di Jalan Travillion Petanak turut mengeluarkan kompaun kepada individu yang gagal mematuhi SOP. 

"Kesemua individu yang dikompaun ini telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3 PPPPB (No. 8) 2020 dan juga Peraturan 10 PPPPB (No.8) 2020," ujarnya. 

Selain itu, beliau menegaskan, polis tidak akan berlembut lagi dalam hal pematuhan SOP dan kompaun akan dikeluarkan kepada mana-mana individu yang dilihat gagal dalam pematuhan SOP PKPP. 

Malah dengan adanya pertambahan kluster-kluster baru yang berdekatan dengan daerah Kuching, Awang Din menyeru kepada masyarakat awam supaya tidak memandang remeh penularan wabak ini dan sentiasa patuh kepada arahan semasa termasuk pemakaian pelitup muka di tempat awam, penjarakan fizikal dan juga bagi premis-premis perniagaan perlu memastikan terdapat alat penyukat suhu badan, buku catatan nama, telefon serta cecair sanitasi.

"Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching telah mengambil tindakan yang lebih proaktif dan tegas terhadap individu yang gagal mematuhi SOP PKPP seperti mana yang telah digariskan oleh kerajaan bagi membendung penularan COVID-19. 

"Pemantauan dan pemeriksaan dengan lebih kerap terhadap premis-premis seumpama ini akan dijalankan secara berterusan," ujarnya. 

  • oleh
  • Advertisement