Anda di sini

Sarawak jual tong gas LPG jenama PETROS ke Pontianak, Indonesia 

Advertisement
Abang Johari berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Selatan di BCCK. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi
Abang Johari berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Selatan di BCCK. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Sarawak bakal mengeluarkan tong gas petroleum cecair (LPG) jenama PETROS untuk dijual ke Pontianak, Kalimantan Barat di Indonesia. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata jika tiada aral melintang, tong gas LPG ini akan dikeluarkan pada bulan Februari depan. 

“Selain itu, Gabenor Kalimantan Barat juga meminta kita (Sarawak) mengeluarkan minyak masak, gula dan beras. 

“Kita akan buka pejabat perdagangan di Pontianak untuk kita mempunyai perniagaan di sana selain Brunei,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini. 

Pada konvensyen tersebut Abang Johari turut berkata beliau bakal mengumumkan satu dasar baharu dalam masa seminggu ini yang akan menguatkan hak Sarawak ke atas sumbernya. 

Dari sudut gas katanya, Sarawak akan menubuhkan stesen gas sendiri bagi mengeluarkan hidrogen menggunakan nama PETROS. 

“Hidrogen masa ini modal pemprosesannya agak mahal namun dalam masa 15 tahun kosnya akan turun sama seperti telefon. 

“Bagusnya hidrogen yang dikeluarkan oleh kita adalah berteknologi hijau berasaskan kepada tenaga diperbaharui tidak seperti yang dikeluarkan oleh negara lain,” katanya. 

Abang Johari turut berkata Sarawak menarik minat ramai lagi pelabur ke negeri ini antaranya Syarikat Taiyo Yuden yang berhasrat untuk membesarkan operasinya diTaman Perindustrian Bebas Samajaya dengan pelaburan RM5 bilion. 

Selain itu Sarawak juga bakal mengeluarkan hidrogen sendiri dengan kerjasama daripada syarikat dari Jepun di Bintulu. 

Turut berminat untuk melabur di Sarawak adalah syarikat dari Korea dalam pengeluaran gelas. 

“Pelaburan datang sebab negeri kita aman dan stabil. Sebab itu kita perlu jaga kestabilan kita dan juga Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya. 
 

  • oleh
  • Advertisement