Anda di sini

Raja-Raja Melayu tiba di Istana Negara hadiri perbincangan khas 

Advertisement
Kenderaan yang membawa Sultan Perak Sultan Nazrin Shah tiba di Istana Negara hari ini. - Gambar Bernama
Kenderaan yang membawa Sultan Nazrin tiba di Istana Negara hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Raja-Raja Melayu tiba di Istana Negara hari ini, bagi menghadiri Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di sini.

Perbincangan khas yang dijadualkan pada 2.30 petang itu, dijangka bagi meneliti cadangan-cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz, Kuantan.

Kenderaan rasmi membawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memasuki pintu utama Istana Negara pada 12.20 tengah hari.

Kenderaan rasmi membawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pula tiba di Istana Negara sekitar pukul 1.30 tengah hari, diikuti Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut berangkat ke Istana Negara ialah Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail serta Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Pengamal media tempatan dan antarabangsa berkumpul di pintu utama Istana Negara sejak 12 tengah hari bagi menanti keberangkatan tiba Raja-Raja Melayu.

Situasi di pekarangan Pintu Utama juga tenang dan dikawal ketat pasukan Polis Diraja Malaysia sejak pagi tadi.

Polis turut memasang pemisah dan kon sebagai langkah keselamatan dan memastikan pematuhan prosedur pengendalian standard (SOP) penjarakan fizikal petugas media.

Pada Jumaat petang, Muhyiddin bersama beberapa menteri Kabinet menghadap Seri Paduka di Istana Abdulaziz, Kuantan Pahang, susulan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan beliau di Putrajaya pada sebelah pagi.

Semalam, Istana Negara dalam satu kenyataan memaklumkan, Al-Sultan Abdullah telah berkenan menerima sembah taklimat cadangan-cadangan yang dicapai Mesyuarat Khas Jemaah Menteri untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka untuk pelaksanaannya.

Kenyataan itu memaklumkan Seri Paduka akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan cadangan-cadangan yang dikemukakan Perdana Menteri. - Bernama 

Advertisement