Anda di sini

PKPB di Sabah dilanjutkan sehingga 9 November depan

Advertisement
MASIDI
MASIDI

KOTA KINABALU: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah akan dilanjutkan sehingga 9 November depan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, lanjutan itu dilaksanakan memandangkan kes positif COVID-19 di Sabah masih tinggi. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 14 lokaliti pula masih berkuat kuasa.

"Dua lagi lokaliti akan dilaksanakan PKPD iaitu di PPR Balung dan Kawasan Perumahan Taman Semarak di daerah Tawau mulai 26 Oktober 2020 hingga 8 November 2020. 

"Pengoperasian kedai runcit di dua lokaliti tersebut adalah dibenarkan mulai 6.00 pagi hingga 6.00 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, seramai tujuh orang guru, 25 orang murid dan seorang kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dilaporkan dijangkiti COVID-19 pada 24 Oktober 2020. 

Katanya, jumlah itu menjadikan bilangan kumulatif guru yang dijangkiti COVID-19 adalah seramai 104 orang guru dan seramai 242 orang murid.

"Sehingga kini, sebanyak 64 Sekatan Jalan Raya telah dilaksanakan di 64 lokasi melibatkan 32,566 pemeriksaan kenderaan. 

"Sebanyak 291 buah kenderaan diarah berpatah balik dan tiada kompaun dikeluarkan. Kadar pematuhan penduduk terhadap SOP PKPB ialah 96.13 peratus," katanya.

Katanya,  Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah telah melaksanakan sanitasi di enam buah daerah iaitu Papar, Semporna, Kota Kinabalu, Sandakan, Kota Marudu dan Kudat melibatkan keluasan 48,489 meter persegi.

Menurutnya, kerjasama padu daripada semua pihak amat penting dalam usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19 dengan mematuhi SOP yang sedang berkuat kuasa dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM26.7 juta kepada 25 daerah di Sabah untuk digunakan bagi tujuan pengagihan Bakul Makanan.

Katanya, pengagihan bakul makanan masih giat dijalankan. Sehingga kelmarin sebanyak 84,814 bakul makanan telah diagihkan. 

Setakat 24 Oktober jumlah kes positif baharu COVID-19 di  Sabah adalah sebanyak 889 kes. Bilangan kematian adalah 6 orang. Jumlah kumulatif kes COVID-19 di negeri ini adalah sebanyak 11,285 kes.

Sehingga kelmarin seramai 4,908 pesakit dilaporkan telah sembuh. Manakala, seramai 6,287 pesakit sedang menerima rawatan dalam wad di seluruh Sabah.

  • oleh
  • Advertisement