Anda di sini

Pengesanan kes aktif COVID-19 dilancarkan di Kampung Haji Baki 

Advertisement
Petugas kesihatan menjalankan ujian swab COVID-19 ke atas penduduk dalam operasi ACD di Kampung Haji Baki, Kuching hari ini.
Petugas kesihatan menjalankan ujian swab COVID-19 ke atas penduduk dalam operasi ACD di Kampung Haji Baki, Kuching hari ini.

KUCHING: Operasi pengesanan kes aktif (ACD) bagi pandemik COVID-19 dilancarkan di Kampung Haji Baki dekat sini hari ini.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, operasi ini adalah susulan daripada dua kluster yang dikesan di sini. 

“Yang pertama adalah sebuah keluarga melibatkan tiga mangsa dan lima mangsa dari keluarga kedua. 

“Jadi keseluruhannya, lapan kes positif di sini,” katanya yang juga pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS). 

Tambah Uggah, Jabatan Kesihatan berpandangan terdapat kemungkinan wabak ini telah merebak kepada komuniti. 

Sebab itu katanya operasi ACD dijalankan melibatkan 100 petugas kesihatan di bawah Dr Majorie Ensayan Junting. 

Terdahulu, Uggah bersama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Chin Zin Hing serta Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), Lo Khere Chiang melawat pusat bagi ujian swab bagi operasi tersebut. 

Uggah (tiga kanan) meninjau operasi ACD di Kampung Haji Baki di Kuching hari ini bersama Dr Chin (kiri), Dr Sim (dua kiri) dan yang lain. 
Uggah (tiga kanan) meninjau operasi ACD di Kampung Haji Baki di Kuching hari ini bersama Dr Chin (kiri), Dr Sim (dua kiri) dan yang lain. 

Dalam operasi tersebut kata Uggah, kira-kira 600 penduduk dari Blok A kampung tersebut diuji. 

Manakala bagi penduduk di Blok B dan C, mereka digalakkan untuk datang menjalankan ujian secara sukarela. 

Bagi mereka yang sakit dan warga emas yang sukar bergerak, petugas kesihatan akan melawat mereka di rumah mereka bagi ujian. 

Uggah turut menjelaskan bahawa operasi ACD tersebut adalah bagi mengawal penularan pandemik tersebut. 

“Kita tidak boleh tunggu mereka yang dijangkiti mula menunjukkan simptom untuk datang bagi rawatan. 

“Kemungkinan, virus tersebut sudah merebak lebih jauh dalam kalangan masyarakat,” katanya. 

Awal tahun ini, dua operasi ACD dijalankan di kawasan perumahan Uni Garden di Kota Samarahan dan Kampung Tabuan Melayu. 

Operasi ACD katanya sangat berguna dan membantu JPBNS dalam mengawal virus daripada menular. 

Uggah turut gembira melihat kerjasama daripada masyarakat yang hadir bagi menjalani ujian dalam operasi ACD di Kampung Haji Baki hari ini. 

  • oleh
  • Advertisement