Anda di sini

PDP Pakan cadang Edwin Bandang sebagai calon baharu GPS di Pakan

Advertisement
 Edwin (empat kiri, sisipan) bersama wakil masyarakat dari DUN Pakan yang menyokong beliau sebagai calon baharu berpotensi untuk mewakili GPS pada PRN akan datang.
BERSAMA CALON: Edwin (empat kiri, sisipan) bersama wakil masyarakat dari DUN Pakan yang menyokong beliau sebagai calon baharu berpotensi untuk mewakili GPS pada PRN akan datang.

SARIKEI: Parti Demokratik Progresif (PDP) Pakan mencadangkan anak tempatan, Edwin Bandang diletakkan sebagai calon baharu untuk bertanding mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) nanti.

Timbalan Pengerusi PDP Pakan Kaunselor Barau Bandan berkata, Edwin, 55, mempunyai sokongan daripada penduduk akar umbi di kawasan tersebut.

“Edwin adalah anak tempatan yang berasal dari Sungai Ribong, Sarikei yang terletak di kawasan DUN Pakan.

“Beliau merupakan pengurus sebuah bank di Sarikei dan mempunyai taraf pendidikan di peringkat diploma.

“Pada pendapat kita, Edwin calon berpotensi mempertahankan kubu kuat GPS ini.

“Beliau memiliki perwatakan yang mesra, rendah diri dan sangat dekat di hati masyarakat di peringkat akar umbi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat bersama beberapa ketua masyarakat, wakil komponen Parti Rakyat Sarawak (PRS), ahli-ahli PDP yang lain dan wakil masyarakat di peringkat akar umbi dari beberapa kawasan DUN Pakan, semalam.

Mesyuarat yang diadakan di sebuah restoran di sini turut dihadiri Edwin.

Barau yang juga jurucakap kumpulan tersebut berkata, mereka yakin Edwin mampu memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan menyuarakan kepentingan rakyat, sekali gus menjadikan Pakan sebagai daerah yang lebih maju pada masa depan.

“Edwin pada masa ini tidak terikat dengan mana-mana parti politik yang menjadikan beliau berada pada kedudukan yang istimewa kerana tidak terpalit dengan isu yang boleh menggugat kedudukan GPS di DUN Pakan.

“Justeru, kita amat berharap kepimpinan tertinggi GPS dapat mempertimbangkan pendapat kita agar meletakkan calon baharu dan berkebolehan ini untuk membawa lebih banyak pembangunan di DUN Pakan kerana rakyat di sini mahukan pembaharuan,” ujar Barau lagi.

Hadir sama Timbalan Pengerusi PRS Pakan Kr Jantan Uchong, Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Pakan  Kr Jimbun Radin, Timbalan Ketua Pemuda PRS Pakan Kr Morris Ngumbang, Ketua Pemuda PDP Pakan Standly Ajang George, Ketua Wanita PDP Pakan Pamela Aprit, ahli PDP Pakan Kr Aprit Katoh, Kr Alexander Kasum, Kr Kapok Ngumbang dan ahli PRS Pakan Kr Senin Ramping.

Advertisement