Anda di sini

Hari Polio Sedunia: Daripada 317 kes AFP, empat disahkan polio, kata Dr Noor Hisham

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seba-nyak 317 kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) iaitu gejala akut menyerupai virus polio, dilaporkan di seluruh negara dari 1 Januari 2019 hingga 16 Oktober ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia adalah hasil pengawasan Kementerian Kesihatan, dalam memantau AFP bagi mengesan kes polio dalam kalangan kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun, melalui pengambilan sampel najis.

“Daripada jumlah tersebut empat kes telah disahkan polio, kesemuanya dilaporkan di negeri Sabah, masing-masing berumur tiga bulan, tiga tahun, lapan tahun dan 11 tahun ketika mereka disahkan dijangkiti polio. Kes yang terakhir mula mengalami gejala kelumpuhan pada 18 Januari.

“Daripada empat kes tersebut, satu kes masih dirawat di hospital kerana memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiga kes lagi berjalan dengan sokongan kerana masih mengalami lemah anggota kaki,” katanya dalam kenyataan semalam sempena Sambutan Hari Polio Sedunia yang disambut pada 24 Oktober.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan susulan peningkatan kes COVID-19 di Sabah, aktiviti kempen secara aktif bagi Kempen Imunisasi Polio di Sabah (KIPS), sekali lagi ditangguhkan di kawasan-kawasan yang merekodkan peningkatan kes wabak itu.

Katanya, kempen itu dijalankan secara berperingkat sejak 27 Dis tahun lalu, melibatkan pemberian vaksin oral polio (OPV) kepada semua kanak-kanak berumur bawah 13 tahun di seluruh Sabah.

“PKP yang dimulakan semenjak 18 Mac memperlahankan aktiviti kempen, namun ia dipergiatkan semula semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, de-ngan mengambil kira amalan berdasarkan norma baru dan prosedur operasi standard yang ditetapkan, bagi mencegah jangkitan COVID-19.

“Dalam usaha untuk memastikan wabak polio dapat dihentikan, risiko penularan jangkitan COVID-19 harus diberi perhatian. Walaupun terdapat banyak kekangan, liputan kempen adalah baik,” katanya yang berkongsi maklumat itu sempena sambutan Hari Polio Sedunia hari ini, dengan tema antarabangsa tahun 2020, ‘Kisah Kemajuan: Dulu dan Kini’.

Sehingga 19 Oktober, Dr Noor Hisham berkata di Sabah, seramai 815,790 (95.6 peratus) kanak-kanak menerima dua dos vaksin bivalent oral polio jenis 1 dan 3 (bOPV), manakala 687,500 (80.6 peratus) kanak-kanak menerima dua dos vaksin monovalent oral polio jenis 2 (mOPV2).

Sementara itu,di Labuan pula, seramai 24,248 orang kanak-kanak menerima dua dos vaksin bOPV bagi Kempen Imunisasi Polio Labuan (KIPL), yang dijalankan sejak 11 Jun lalu.  

Kata Dr Noor Hisham, pemberian vaksin lima serangkai (DTaP-IPV/Hib) yang mengandungi komponen antigen polio kepada kanak-kanak pada umur dua, tiga, lima dan 18 bulan, di bawah Program Imunisasi Kanak-kanak Kebangsaan dipertingkatkan di Sabah dan Labuan.

“Ini bagi memastikan setiap kanak-kanak dapat dilindungi dari jangkitan polio secara optimum. Vaksin oral polio yang diberikan melalui Kempen Imunisasi Polio merupakan pemberian vaksin polio tambahan, bagi memastikan penularan virus polio dapat dihentikan.

“Bagi kanak-kanak di ne-geri lain pula, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka mendapat vaksin lima serangkai tersebut, mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.

Selain itu, sebanyak 558 sampel air kumbahan diambil di seluruh negara dari 1 Januari 2019 hingga 30 September, bagi menjalankan persampelan air kumbahan dan mengesan kehadiran virus polio dalam persekitaran.

Menurut Dr Noor Hisham daripada jumlah tersebut, virus polio dikesan dalam 24 sampel air kumbahan yang diambil di Sabah, serta satu sampel air kumbahan di Labuan, dengan sampel persekitaran positif yang terakhir dikesan virus polio adalah pada 13 Mac lalu.

Penyakit polio merupakan penyakit berjangkit disebabkan virus polio, yang menye-rang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal, selain menyebabkan kegagalan pernafasan dan membawa maut. — Bernama

Advertisement