Anda di sini

EPL: Leeds Utd naik ke tangga ketiga

Advertisement
 Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Aston Villa dan Leeds United di Villa Park, England. — Gambar AFP
PERSEMBAHAN BERKUALITI: Antara babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Aston Villa dan Leeds United di Villa Park, England. — Gambar AFP

BIRMINGHAM: Marcelo Bielsa menegaskan Patrick Bamford wajar menerima pujian kerana mengubah kariernya selepas hatrik penyerang itu mengilhamkan kemenangan 3-0 ke atas Aston Villa kelmarin.

Pasukan Bielsa naik ke tangga ketiga dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) hasil tiga jaringan Bamford dalam tempoh 19 minit pada separuh masa kedua di Villa Park.

Bamford menjaringkan satu gol dalam 27 penampilan EPL sebelum musim ini tetapi dia sudah menjaringkan enam gol dalam enam perlawanan pada musim ini.

Hatrik itu memberi saat yang manis kepada pemain berusia 27 tahun itu, yang mengalami perjalanan yang jauh dan berliku-liku untuk sampai ke puncak selepas sekian lama menerima kritikan.

Bamford menjadi pemain pinjaman sebanyak tujuh kali ketika dia menjadi graduan akademi remaja Chelsea sebelum dia berhijrah ke Middlesbrough, kemudian pada akhirnya menemui rentak di bawah bimbingan Bielsa di Leeds.

“Ia adalah impian yang menjadi kenyataan. Apabila gol ketiga masuk, ia mengujakan. Saya akan menceritakan kepada anak-anak saya tentang ini,” kata Bamford selepas dia menjadi pemain kedua untuk menjaringkan gol dalam setiap daripada tiga perlawanan pembukaan Leeds di tempat lawan dalam liga utama sejak Gordon Hodgson pada 1937-38.

“Ia merupakan kesaksian kepada cara pasukan ini bekerja. Tanpa mereka, saya tidak akan dapat menjaringkan gol.

“Marcelo telah meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada saya. Orang kata Bielsa adalah mitos tetapi kami sudah menunjukkan Leeds di sini untuk bersaing.”

Sementara Bamford mengiktiraf peranan Bielsa dalam kebangkitannya, pengurus Leeds itu berkata kebangkitan pemainnya adalah kerana usaha gigih dan pendekatan rendah hati.

“Sangat gembira bagi Patrick kerana dia menjaringkan beberapa gol yang cantik. Selain itu, seorang pemain mulia yang banyak berkorban untuk pasukan. Dia juga murah hati,” kata Bielsa.

“Saya rasa perkembangannya ada lebih kaitan dengannya dan bukan kerana saya.”

Kemenangan liga ketiga Leeds sejak mereka naik dari Liga Kejuaraan merupakan respons yang amat baik ekoran kekalahan kepada Wolves pada Isnin lepas.

“Ia merupakan perlawanan yang penting bagi kami dan kemenangan yang sewajarnya. Kami menjaringkan gol terlebih dahulu dan bernasib baik sedikit kerana mereka tidak menjaringkan beberapa peluang yang mereka ada,” kata Bielsa.

Bagi Villa, kemenangan mereka dalam empat perlawnan tamat apabila mereka melepaskan peluang untuk memulakan musim dengan lima kemenangan berturut-turut buat pertama kali dalam sejarah mereka.

Villa hanya terlepas daripada relegasi pada hari terakhir musim lepas, maka itu kekalahan pertama boleh bertindak sebagai satu semakan realiti bagi pasukan Dean Smith selepas permulaan mantap yang tidak dijangkakan.

Smith telah memberitahu para pemainnya bahawa mereka boleh “berdarah hidung dengan sangat cepat” jika mereka bersikap sambil lewa, tetapi mereka tidak mengendahkan amaran itu apabila Bamford memberikan tumbukan ‘knockout’.

Leeds nyaris menjaringkan gol pendahuluan dalam masa empat minit pertama apabila Bamford menanduk bola yang tersasar sipi daripada bola hantaran lintang yang dalam oleh Ezgjan Alioskideep,

Villa nyaris menjaringkan gol pendahuluan yang tidak diduga apabila Jack Grealish menyaksikan rembatannya diselamatkan dengan cantik di atas garisan oleh campur tangan saat akhir Luke Ayling.

Grealish membwa ancaman utama Villa dan rayuan penalti oleh pemain sayap itu ditolak oleh Video Pembantu Pengadil (VAR) selepas dia terjatuh di bawah kontak minimum daripada Helder Costa.

Grealish, yang mempamerkan kemahiran yang mendorong ramai untuk mempersoalkan keputusan pengurus England Gareth Southgate untuk tidak menggunakannya dengan lebih kerap, mengelecek barisan pertahanan Leeds dengan gerakan yang tangkas sebelum Illan Meslier menyekat rembatannya.

Tetapi Bamford memecah kebuntuan pada minit ke-55 dengan penyudah jarak dekat selepas penjaga gol Villa Emiliano Martinez menolak cubaan Rodrigo ke laluannya.

Ketinggalan buat pertama kali dalam sembilan perlawanan liga, kekalahan Villa dipastikan oleh Bamford pada minit ke-67.

Bamford tidak memberi peluang kepada Martinez dengan rembatan kencang ke dalam sudut atas gawang dari tepi kawasan penalti.

Bamford melengkapkan hatriknya pada minit ke-75 apabila dia menerima hantaran Costa dan membuka ruang di dalam kawasan penalti sebelum dia melakukan rembatan yang melepasi Martinez. — AFP

Advertisement