Anda di sini

COVID-19: Sarawak kembali rekod kes dua angka, satu kluster baharu dikesan

Advertisement
 Statistik terkini kes positif COVID-19 di Sarawak setakat Ahad.

KUCHING: Sarawak kembali merekodkan kes positif baharu COVID-19 dua angka hari ini dengan 16 kes dilaporkan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata daripada jumlah itu, 15 kes dilaporkan di daerah Kuching dan satu kes di daerah menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak setakat ini 796.

"Hari ini terdapat tujuh kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19, tujuh kes saringan kontak dan dua kes dikesan dari lain-lain saringan," kata JPBNS menerusi kenyataan hari ini.

Memperincikan perkara itu JPBNS berkata terdapat tujuh kes dikesan melalui kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 mengklasifikasikan kes sebagai Import B.

JPBNS berkata kes ke-781, 782 dan 787 merupakan dua wanita dan seorang lelaki warganegara tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan ke Selangor.

Manakala kes ke-783 iatu seorang wanita, juga warganegara tempatan, yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sungai Petani, Kedah.

Kes ke-784 dan 785 pula jelasnya, kedua-dua kes merupakan ibu dan anak yang mempunyai sejarah menghadiri majlis perkahwinan saudara di Kuantan, Pahang.

Sementara itu kes ke-786, merupakan seorang penuntut di institusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur.

"Kesemua kes ke-781 hingga kes ke-787 telah pulang ke Sarawak pada 14 Oktober 2020 menaiki pesawat yang sama dan dimasukkan ke pusat kuarantin di Kuching. 

"Keputusan ujian rT-PCR kali kedua pada 23 Oktober 2020 mendapati kesemua kes positif COVID-19. Kes-kes ini dimasukkan ke wad pengasingan Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut," jelasnya.

JPBNS juga memberitahu terdapat tujuh kes baharu dikesan melalui aktiviti pengesanan kontak kepada kes positif COVID-19.

Kes ke-788, 789 dan 790 katanya merupakan kontak rapat kepada kes Kluster Baki. Kes-kes ini mempunyai sejarah menghadiri perhimpunan keluarga bersama kes-768 dan 770 pada 4 hingga 5 Oktober 2020.

"Kes-kes ini merupakan satu keluarga yang terdiri daripada suami, isteri dan anak yang merupakan pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Wira Penrissen.

"Sementara itu, kes ke-791, 793, 794 dan 795 merupakan kontak kepada kes Kluster Seladah. Tiga kes merupakan ahli keluarga terdekat kepada kes-771 manakala satu kes merupakan pelanggan yang pernah membeli kuih daripada kes-771," jelasnya.

Bagi kes positif yang dikesan menerusi lain-lain saringan, JPBNS berkata dua kes dikenal pasti iaitu kes ke- 792 dan 796 merupakan lelaki warga tempatan yang selalu berkunjung ke rumah panjang yang sama di Sematan, Lundu pada setiap hujung minggu. 

Kes-kes ini katanya menjalani saringan COVID-19 di sebuah fasiliti kesihatan kerajaan di Kuching pada 23 Oktober 2020 kerana mempunyai kontak dengan kes yang positif RTK Antigen. 

Keputusan ujian rT-PCR pada 24 Oktober 2020 mendapati kes-kes ini adalah positif COVID-19, tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, JPBNS berkata hari ini Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan satu kluster baru iaitu Kluster Seladah di daerah Kuching.

"Indeks kes kepada kluster ini merupakan kes ke-771 yang disahkan positif pada 23 Oktober 2020. Seramai 17 orang kontak kepada kes ini telah disaring. 

"Dua daripada kontak telah didapati positif COVID-19 pada 23 Oktober 2020 dan empat lagi kontak didapati positif COVID-19 pada hari ini. Ini menjadikan jumlah kes dalam Kluster Seladah ialah seramai tujuh orang termasuk kes indeks," jelasnya.

JPBNS menambah daripada enam kontak yang positif ini, lima kes merupakan ahli keluarga terdekat manakala satu kes merupakan pelanggan kepada kes ke-771. 

Siasatan lanjut dan pengesanan kontak lain kepada kluster ini sedang giat dilakukan oleh JKNS untuk mengelak berlakunya perebakan yang lebih serius, ujarnya.

"Dengan pengistiiharan Kluster Seladah, jumlah kluster COVID-19 yang aktif di Sarawak ketika ini meningkat kepada empat.  

"Tiga lagi adalah kluster Kluster Bah Arnab di daerah Kuching, Kluster Putra di daerah Bintulu dan Kluster Baki juga di daerah Kuching," katanya.

  • oleh
  • Advertisement