Anda di sini

COVID-19: Kemudahan hospital di Limbang, Lawas dipertingkat

Advertisement
 Awang Tengah merasmikan Dewan Kampung Limpaku Pinang disaksikan Ubaidillah (kiri), Paulus, Hasbi, Dr Abdul Rahman dan Simatzaman.
KEMUDAHAN RAKYAT: Awang Tengah merasmikan Dewan Kampung Limpaku Pinang disaksikan Ubaidillah (kiri), Paulus, Hasbi, Dr Abdul Rahman dan Simatzaman.

LIMBANG: Dalam usaha menangani penularan COVID-19, kemudahan hospital di Limbang dan Lawas akan diperkasakan keupayaannya termasuk menempatkan peralatan, mesin dan makmal ujian serta menambah lebih ramai kakitangan dan pakar kesihatan yang bertugas.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang tengah Ali Hasan berkata, langkah itu boleh dilakukan dengan membekalkan kemudahan ujian pengesanan dan pengesahan COVID-19 yang sebelum ini dilakukan di Hospital Miri.

“Kita mahu makmal ujian COVID-19 ditempatkan di Hospital Limbang dan Lawas dan ini akan diusahakan secepat mungkin.

“Bukan saja peralatan, tetapi melibatkan keperluan menambah pakar-pakar supaya dengan adanya kemudahan, pengesahan ujian tidak perlu lagi dilakukan di Hospital Miri,” ujarnya ketika ditemui media selepas Majlis Penyerahan Enjin Sangkut dan Perasmian Dewan Kampung Limpaku Pinang di sini, semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah, Menteri Muda  Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak Datu Zaidi Mahdi, Pengarah Wilayah NRDA Datu Ubaidillah Abdul Latif, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said dan Ketua Kampung Limpaku Pinang Simatziman Sapar.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua dan Menteri Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan berkata, bagi kemudahan mesin dan peralatan serta makmal ujian, kosnya belum dapat ditentukan lagi.

Beliau memberitahu, pihak Hospital Limbang juga sudah mengemukakan kertas cadangan untuk senarai peralatan serta penambahan kakitangan sokongan.

“Kita serius mahu COVID-19 ini dapat diuji di Limbang sekaligus mengurangkan masa menunggu kepada satu hingga dua hari untuk keputusan ujian terbabit,” katanya.

Sementara itu katanya, Kampung Limpaku Pinang dan Kampung Bulantak yang hanya boleh dilalui menggunakan jalan sungai akan dapat dihubungkan melalui jalan raya di bawah projek Lebuh Raya Pesisir Utara baharu di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).

Jelas beliau, secara umumnya Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersetuju dan memberi tanggungjawab kepada NRDA untuk meneruskan projek Pan Borneo yang dibatal kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan menambah projek Lebuh Raya Pesisir Utara baharu untuk mengakses kampung dan rumah panjang yang tidak dapat dihubungkan dan Jalan Penghubung Sarawak (Sarawak Link).

“Jalan pesisir ini juga akan menghubungkan Kampung Limpaku Pinang dan Bulantak dengan jalan raya dengan anggaran kos lebih RM170 juta termasuk mengubah dari segi jajaran yang selaraskan dengan pembangunan jalan dan menyambung kepada Sarawak Link.

“Kerajaan persekutuan bersetuju terhadap perancangan jalan ini,” katanya lagi.

Pada masa sama katanya, Abang Johari turut bersetuju meluluskan projek Masjid Terapung Limpaku Pinang bernilai RM6 juta yang akan dibina tahun depan.

“Di bawah NRDA juga kita akan menggantikan jeti yang usang dengan jeti konkrit serta menaik taraf Sekolah Limpaku Pinang dengan kos RM2.3 juta,” katanya lagi.

Seramai 185 penerima menerima enjin sangkut daripada NRDA pada majlis tersebut.

  • oleh
  • Advertisement