Anda di sini

Bunuh bayi lapan bulan: Bapa kandung didakwa di mahkamah

Advertisement
Wan Roslan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini - Gambar Bernama 
Wan Roslan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, hari ini - Gambar Bernama 

PASIR PUTEH: Seorang buruh kasar dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh bayi lelakinya berusia lapan bulan, 13 Oktober lepas.

Wan Roslan Wan Mustapa, 40, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Wan Roslan didakwa membunuh Wan Mohamad Afiq Zafwan Wan Roslan di Kampung Sungai Dua, Repek, Bachok pada 13 Okt lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nor Hanifah Mohamad, 32, menggunakan sebatang penyapu di tempat, tarikh dan masa sama. 

Tiada sebarang pengakuan juga direkodkan daripada tertuduh.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Asma'a Che Omar manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Izwan Ishak.

Ketika prosiding, Muhamad Izwan memohon mahkamah menetapkan satu tarikh dalam tempoh sebulan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen bagi menunggu keputusan laporan bedah siasat mangsa serta laporan psikiatrik.

Mahkamah menetapkan 24 November depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen serta memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi mengenal pasti tahap kewarasannya.

Pada 13 Oktober lepas, Bernama melaporkan bayi lelaki berusia lapan bulan ditemukan mati dalam keadaan menyayat hati dengan badannya dilumur garam di dalam guni di bahagian dapur sebuah rumah, selain mengalami kecederaan di kepala yang berkemungkinan akibat hentakan atau terjatuh. - Bernama 

Advertisement