Anda di sini

Tentera China nekad tewaskan ‘penyerang’: Xi

Advertisement
 Presiden China Xi Jinping (depan, tengah) menghadiri upacara untuk memperingati ulang tahun ke-70 penyertaan China dalam Perang Korea 1950-53 di Dewan Besar Rakyat di Beijing, semalam. — Gambar AFP
MEGAH: Presiden China Xi Jinping (depan, tengah) menghadiri upacara untuk memperingati ulang tahun ke-70 penyertaan China dalam Perang Korea 1950-53 di Dewan Besar Rakyat di Beijing, semalam. — Gambar AFP

BEIJING: Presiden Xi Jinping semalam memberi amaran tentang tekad angkatan tentera China untuk menewaskan “penyerang” dalam ucapannya sempena ulang tahun ke-70 Perang Korea, satu-satunya pepe-rangan di mana tentera China telah memerangi Amerika Syarikat (AS).

Dalam ucapan yang panjang, sarat dengan patrio-tisme dan diselit dengan cerita tentang keberanian tentera China, Xi berkata kemenangan dalam konflik 1950-53 merupakan satu peringatan bahawa negara-nya bersiap sedia untuk memerangi sesiapa pun yang “menimbulkan masalah ... di depan pintu China”.  

Beijing kerap mengguna-kan ulang tahun peperangan untuk memberi amaran yang jelas kepada AS tentang kekuatan angkatan tentera “China baharu”.

Perang Korea merupakan satu cerita asas yang penting bagi Parti Komunis yang memerintah China.

Ulang tahun semalam di-adakan ketika parti itu dikritik oleh Presiden AS Donald Trump, dalam perbalahan sengit yang menjangkau perdagangan, teknologi, hak asasi manusia dan status Tai-wan, yang menurut China adalah sebahagian daripada tanah besar yang tidak dapat dicabuli.

Tanpa menyebut nama AS secara jelas, Xi menjadikan Perang Korea sebagai contoh sejarah dan menyelar “dasar sehala, dasar perlindungan dan egoisme ekstrem” pada zaman moden.

“Rakyat China tidak me-nimbulkan masalah, dan kita juga tidak takut kepada mereka,” kata Xi yang menerima tepukan.

“Kita tidak akan duduk diam dan melihat sahaja sebarang kerosakan kepada kedaulatan negara kita, dan kita tidak akan membiarkan mana-mana kuasa untuk menyerang atau memecah-belah wilayah ibu pertiwi yang keramat.”

Pada Rabu lepas, Pentagon mengumumkan ia sudah bersetuju untuk menjual misil bernilai lebih satu bilion dolar kepada Taiwan yang memerintah diri sendiri.

Perang Korea merupakan yang pertama dan setakat ini satu-satunya peperangan yang menyaksikan tentera China memerangi tentera AS dalam pertempuran langsung berskala besar.

Menurut kerajaan China, lebih 197,000 askar China terkorban dalam pepera-ngan selama tiga tahun itu, yang menyaksikan perikatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pimpinan AS berundur ke garisan selari ke-38 yang memisahkan Semenanjung Korea, selepas China ma-suk campur dan memihak kepada tentera komunis Korea Utara.

Peperangan itu, yang pada asasnya berakhir dengan kebuntuan yang berdarah, diuar-uarkan di China sebagai satu kemenangan dan contoh ketahanan dan se-mangat menentang musuh yang lebih maju.

“Ketika China sangat miskin, ia tidak tunduk kepada tekanan AS,” kata satu tulisan pengarang dalam akhbar nasionalis Global Times pada minggu ini.

“Pada hari ini, China sudah berkembang untuk menjadi sebuah negara yang kuat, maka itu China tiada sebab untuk rasa takut kepada penindasan dan ancaman AS.”

Dengan ketegangan pada tahap tertinggi sejak beberapa dekad lalu antara Beijing dengan Washington, China meuar-uarkan ulang tahun ke-70 penyertaan tentera-nya dalam peperangan itu, bertujuan untuk disajikan kepada rakyat tempatan dan juga sebagai amaran kepada musuh kuasa besar.

China dan Korea Utara telah berusaha untuk memperbaiki perhubungan sejak dua tahun lepas setelah ia merosot apabila Beijing menyokong siri sekatan PBB terhadap Pyongyang berhubung aktiviti nuklearnya.

Xi dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sudah berjumpa sebanyak lima kali sejak Mac 2018, manakala rundingan nuklear  antara Washington dengan Pyongyang menemui jalan buntu.

Dengan memperingati ulang tahun itu, “China me-nyatakan kepada AS bahawa ia tidak takut kepada AS pada masa lalu, dan masih tidak takut kepada AS sekarang”, kata Shi Yinhong selaku profesor politik antarabangsa di Universiti Renmin.

“Ia adalah untuk bersiap sedia bagi konflik ketenteraan terhad yang boleh berlaku de-ngan AS,” kata Shi. — AFP

Advertisement