Anda di sini

Rusuhan bantah kekejaman polis berterusan di Nigeria

Advertisement
 Dua kereta rosak selepas dibakar penunjuk perasaan yang menyerang pusat beli-belah kelas pertengahan di Lekki Phase 1, Lagos kelmarin. — Gambar AFP
ROSAK: Dua kereta rosak selepas dibakar penunjuk perasaan yang menyerang pusat beli-belah kelas pertengahan di Lekki Phase 1, Lagos kelmarin. — Gambar AFP

LAGOS: Presiden Nigeria telah menggesa agar rusuhan yang melanda negara itu dihentikan tetapi mengelak daripada menyebut tentang tindakan polis menembak penunjuk perasaan tanpa senjata yang mencetuskan kecaman antarabangsa dan huru-hara di bandar raya terbesar di Afrika.

Lagos menyaksikan kejadian tembakan, penjarahan kedai dan pembakaran sebuah penjara sejak pasukan keselamatan pada minggu ini melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan aman yang menuntut urus tadbir yang lebih baik dan penamatan kekejaman polis di bandar raya yang mempunyai 20 juta penduduk itu.

Amnesty International berkata anggota tentera dan polis Nigeria menembak mati 12 penunjuk perasaan, manakala 56 sudah maut pada keseluruhannya di seluruh negara sejak siri protes bermula dua minggu lalu.

Presiden Muhammadu Buhari memberi amaran kepada penunjuk perasaan kelmarin untuk tidak “menggugat keselamatan negara” dalam ucapan kebangsaan pertama-nya sejak insiden pada Selasa lepas, yang beliau tidak sebut secara langsung.

Sebaliknya beliau me-nyalahkan penghasut yang menurutnya telah “menculik dan memberi hala tuju yang salah” kepada pergerakan protes.

“Ini tidak akan dibiarkan di bawah apa pun keadaan,” tambah Buhari.

Pemimpin berusia 77 tahun itu menyeru kepada golongan belia untuk “menamatkan protes jalanan dan berbincang dengan kerajaan secara membina untuk mencari penyelesaian”.

Kecaman antarabangsa sudah meningkat sejak beberapa hari lalu dan Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Afrika, Kesatuan Eropah dan Britain mengkritik pihak berkuasa kerana menggunakan ke-kerasan keterlaluan.

Setiausaha Negara AS Mike Pompeo menuntut siasatan segera ke atas keganasan oleh pasukan keselamatan tetapi Buhari menepis semua teguran asing.

“Kami mengucapkan terima kasih dan menggesa anda semua untuk cuba mengetahui semua fakta yang ada sebelum mengambil pendirian atau terburu-buru membuat penilaian dan pengumuman,” katanya.

Tembakan dari semasa ke semasa dilaporkan pada hari kedua di Lagos kelmarin walaupun perintah berkurung sepanjang masa dilaksanakan.

Pendirian Buhari yang tidak bertolak-ansur segera mencetuskan kemarahan dalam talian dan dijangka tidak akan meredakan ke-marahan yang berleluasa dalam salah satu krisis terbesar yang dihadapinya.

“Ada atau tidak sesiapa memerhatikan bahawa presiden malah tidak dapat memaklumkan nyawa yang hilang dan orang yang cedera disebabkan oleh anggota polis yang suka menekan pemicu senapang?” ciap aktres Nigeria, Kemi Lala Akindoju, di Twitter.

“Tiada empati. Tiada harapan. Tiada yang memikul tanggungjawab. Tiada ke-pimpinan,” tambahnya.

Protes meletus di Nigeria dua minggu lalu berhubung kekejaman polis oleh Skuad Anti-Rompakan Khas yang dibenci ramai.

Buhari membubarkan unit tersebut dan menjanjikan reformasi tetapi tuntutan penunjuk perasaan muda meningkat kepada seruan bagi perubahan yang lebih menyeluruh.

Pihak berkuasa berkata demonstrasi itu semakin diambil alih oleh penjenayah apabila keganasan meletus dan cuba mematahkannya.

“Malangnya, kecepatan kita untuk bertindak seakan-akan disalah-ertikan sebagai tanda kelemahan,” kata Buhari dalam ucapannya.

Tentera Nigeria menafikan askarnya telah melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan pada Selasa lepas.

Tetapi Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia Michelle Bachelet berkata tanda menunjukkan serangan itu “dirancang awal, diatur dan diselaraskan”.

Insiden itu mencetuskan siri rusuhan di tengah Lagos yang menyaksikan pasar raya dijarah dan penjara diserang. — AFP

Advertisement