Anda di sini

Petra Jaya bakal dihubungkan terus ke Samarahan menerusi projek expressway

Advertisement
 Abang Johari menyaksikan penyerahan surat setuju terima Projek Menaik Taraf Lima Bulatan di Jalan Expressway Samarahan-Kuching daripada Zuraimi (tiga kanan) kepada kontraktor terlibat. Turut kelihatan Julaihi, Dr Sim dan Jaul. - Gambar Muhammad Rais Sanusi.
Abang Johari menyaksikan penyerahan surat setuju terima Projek Menaik Taraf Lima Bulatan di Jalan Expressway Samarahan-Kuching daripada Zuraimi kepada kontraktor terlibat. Turut kelihatan Julaihi, Dr Sim dan Jaul. - Gambar Muhammad Rais Sanusi.

KOTA SAMARAHAN: Penduduk di Samarahan bakal mempunyai satu lagi expressway yang akan dihubungkan terus ke Petra Jaya sekali gus mengurangkan kesesakan trafik di expressway sedia ada.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek expressway Samarahan ke Petra Jaya yang kini sudah dalam reka bentuk dijangka dilaksana di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

"Kita mempunyai perancangan satu lagi expressway sebagai alternatif kepada expressway Samarahan kerana kita melihat dalam masa tiga tahun selepas projek rangkaian jalan pesisir siap ia akan menyebabkan aliran trafik yang banyak menerusi jalan ini.

"Expressway baharu ini akan disambungkan menerusi satu jambatan merentasi Sungai Sarawak berdekatan dengan kawasan Sejingkat.

"Dari situ ia akan dihubungkan terus ke Santubong iaitu Jalan Sultan Tengah, yang mana akan kita naik taraf semuanya kepada jalan dua lorong," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Menaik Taraf Lima Bulatan Sepanjang Jalan Expressway Samarahan-Kuching di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Zuraimi Sabki.

Tambah Abang Johari menerusi alternaif expressway itu, Samarahan bakal dihubungkan terus dengan Petra Jaya. Dengan itu kata beliau ia juga akan merancakkan lagi industri pelancongan di kawasan berkenaan.

Beliau memberitahu, pada masa sama kerajaan negeri sedang dalam perancangan menaik taraf jalan di Siniawan sehingga ke Bau, dengan jalan dua lorong.

"Ini bermakna seluruh bandar raya Kuching juga boleh dihubungi dengan semua jalan dua lorong, yang pastinya menarik para pelabur untuk datang," katanya.

Abang Johari berkata, dengan pelaksanaan infrastruktur sedemikian juga ia merupakan persediaan kepada Sarawak ke arah mencapai negeri maju menjelang 2030.

Mengenai projek menaik taraf bulatan di Expressway Samarahan-Kuching, beliau dalam ucapannya berkata lima bulatan akan dipasang dengan lampu isyarat pintar sekali gus melancarkan aliran trafik di jalan berkenaan.

"Dua tahun lepas semasa saya menghadiri majlis anjuran Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), mereka mengemukakan aduan mengenai kesesakan trafik, yang mengambil masa sejam lebih sama ada dari Samarahan ke Kuching atau sebaliknya.

"Sehubungan itu saya memberi respon agar Expressway Samarahan dinaiktaraf iaitu bulatannya dengan membina lampu isyarat pintar. Hari ini saya telah menunaikan janji saya itu untuk manfaat semua," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu membuat perancangan dan membangunkan infrastruktur sedemikian memandangkan kini jumlah penduduk yang semakin meningkat.

Katanya, menurut statistik terkini jumlah penduduk Kuching dan Samarahan dianggarkan 1.2 juta.

"Maka itu kita perlu meningkatkan kemudahan di sepanjang jalan ini dan kita perlu merancang jalan alternatif menggunakan Expressway Samarahan ke Petra Jaya, yang semuanya dua lorong," katanya.

  • oleh
  • Advertisement