Anda di sini

Industri halal berpotensi besar untuk terus berkembang

Advertisement
 Majang (tiga kiri) diiringi Nordin (dua kiri) dan Hussaini (kanan) melihat produk yang dihasilkan usahawan tempatan pada majlis penutupan Kursus BeSS MeSTI Halal di Bintulu, semalam.
TERBAIK: Majang (tiga kiri) diiringi Nordin (dua kiri) dan Hussaini (kanan) melihat produk yang dihasilkan usahawan tempatan pada majlis penutupan Kursus BeSS MeSTI Halal di Bintulu, semalam.

BINTULU: Industri halal berpotensi besar untuk terus berkembang, kata Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais.

Beliau berkata, pensijilan halal Malaysia turut mendapat pengiktirafan banyak negara, khasnya di Timur Tengah dan Asia Tenggara susulan proses pengauditan yang sangat ketat.

Katanya, World Population Review melaporkan anggaran jumlah penduduk dunia ketika ini melebihi 7.7 bilion dengan 1.9 bilion penduduk Islam, justeru potensi industri halal dan peluang keusahawanan berkaitan sememangnya amat luas.

“Majoriti produk dan perkhidmatan keluaran tempatan telah berjaya menembusi pasaran dunia dan diterima oleh negara-negara bukan Islam seperti Brazil, Australia, Jepun, Thailand, Korea Selatan dan China terutamanya yang telah mendapat pengiktirafan pensijilan MeSTI dan pensijilan halal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Majang Renggi pada majlis penutupan Kursus (Bersih Selamat dan Sihat) BeSS MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) HALAL yang disertai 101 peserta di sebuah hotel di sini, semalam.

Kursus tersebut dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Naroden berkata, pada 2019 eksport produk halal Malaysia adalah bernilai RM40.2 bilion atau 4.1 peratus daripada keseluruhan eksport negara.

“Majlis Ekonomi ASEAN sedang dalam perbincangan untuk menyeragamkan pensijilan halal sedia ada supaya dapat menempatkan industri ini ke tahap utama,” jelasnya.

Pada masa sama katanya, ia juga untuk membangunkan negara-negara ASEAN sebagai pemain industri halal setanding dengan negara-negara yang menerajui industri halal tertentu seperti daging lembu halal dari Australia, daging kambing halal dari New Zealand dan sebagainya.

Jelasnya, saiz pasaran halal global pada masa ini dianggarkan bernilai AS$3 trilion dan dijangka berkembang kepada AS$7.7 trilion menjelang 2030, menurut sumber ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan 2020 oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Azmin Ali.

“Menyedari akan kepentingan potensi industri penyediaan dan pemprosesan makanan, kesedaran dan rasa tanggungjawab untuk mendapatkan pensijilan BeSS, MeSTI dan Halal ini harus bermula dalam diri usahawan sendiri,” ujarnya.

Hakikatnya katanya, du-nia sekarang memang telah mengiktiraf industri halal dan potensinya kepada pembangunan dan perkembangan ekonomi sesebuah negara sekali gus membuka banyak peluang dalam industri halal bukan kepada orang Islam semata-mata, tetapi juga bukan Islam.

Selain itu katanya, pengguna juga semakin peka dengan kualiti produk dan perkhidmatan yang mempunyai standard halal serta penerimaan pengguna bukan Islam terhadap produk dan perkhidmatan halal juga meningkat.

Menurutnya, kajian mendapati pengguna bukan Islam mempunyai tanggapan lebih positif terhadap produk halal khususnya dari segi jaminan kebersihan dan keselamatan.

“Saya berharap agensi-agensi berkaitan akan dapat bekerjasama dengan agensi keusahawanan seperti SEDC untuk mengembangkan industri halal di Sarawak,” ujarnya.

Hadir sama Pegawai Penguasa SEDC Wilayah Bintulu dan Miri Nordin Mus, Timbalan Residen Bahagian Bintulu Hussaini Hakim, penceramah kursus yang mewakili Pengarah JAIS Asmawaty Ahmad, Pegawai Hal Ehwal Islam JAIS Bintulu Ellysha Razali mewakili pegawainya, penceramah KKM Sylvester William Silan yang mewakili pegawainya, Latifah Pun yang mewakili Pegawai Daerah Bintulu serta ketua-ketua masyarakat setempat.

  • oleh
  • Advertisement