Anda di sini

Darurat atau tidak, Sarawak tetap fokus tangani COVID-19

Advertisement
 

BAU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) fokus menangani penularan COVID-19 sama ada darurat dilaksanakan atau tidak, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar).

Menurutnya, beliau sibuk dengan COVID-19 dan tidak ambil maklum dengan kemungkinan pengumuman darurat. 

“Kita sekarang melindungi Sarawak. Kita lakukan apa yang perlu kerana Sarawak adalah antara yang terendah (kes positif COVID-19) di Malaysia. Tetapi jika kita lihat corak lepas, ada masa di mana kes meningkat mendadak. Jadi itu adalah fokus kita,” katanya kepada pemberita selepas Program Agriculture Community Outreach (AgriCOP) dan Perasmian Projek Tanaman Pisang Berkelompok, Singai di sini hari ini. 

Uggah yang juga pengerusi JPBNS menambah, hari ini terdapat lapan kes baharu positif COVID-19 dengan enam daripada adalah kontak rapat kepada kes positif dan dua lagi kes tempatan yang mana masih dalam siasatan. 

Jadi katanya melihat kepada trend ini, Sarawak meskipun nampaknya mendatar tetapi perlu berhati-hati. 

“Selepas ini saya akan bermesyuarat dengan pasukan kita, sama ada kita perlu adakan pengesanan kes aktif di kawasan terlibat dan satu dua kes kita perlu buat pengesanan kontak. 

“Keseluruhan ideanya adalah kesan kes dan asingkan,” katanya yang turut menasihatkan masyarakat umum untuk terus berjaga-jaga, patuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun kadang-kadang sukar tetapi ini adalah bagaimana Sarawak dapat menguruskan pandemik ini. 

Uggah turut merayu kepada masyarakat umum supaya tidak menyebarkan khabar angin dan berita palsu kerana ia boleh menyebabkan rakyat panik dan menimbulkan banyak masalah. 

Uggah turut menegaskan bahawa mesej tular mengenai kes positif COVID-19 dikesan di Poliklinik Jalan Masjid sekembali dari Sematan dan Telok Melano adalah palsu. 

Justeru Uggah meminta masyarakat untuk lebih berdisplin dan menunggu sehingga kenyataan rasmi daripada JPBNS. 

  • oleh
  • Advertisement