Anda di sini

COVID-19: Lapan kes, satu kluster baru di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak mencatatkan lapan kes positif baharu COVID-19 hari ini dengan satu kluster baharu diisytiharkan iaitu Kluster Baki di Daerah Kuching.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) berkata, kesemua lapan kes yang dikesan di Daerah Kuching itu melibatkan kes jangkitan kes tempatan yang sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 780 kes.

“Kes ke-773 merupakan seorang wanita warganegara tempatan yang merupakan kontak rapat kepada kes ke-752 dan kes ke-759 yang telah disahkan positif pada 12 dan 15 Oktober 2020. 

“Kes mempunyai sejarah melawat kes ke-752 semasa beliau menjalani kuarantin dirumah. Saringan ujian rT-PCR pertama telah dijalankan pada 13 Oktober 2020 dan kes didapati negatif COVID-19 pada 14 Oktober 2020. Kes telah dimasukkan ke pusat kuarantin untuk menjalani baki arahan kuarantin 14 hari,” kata Jawatankuasa itu hari ini.

Mengulas  lanjut, kata JPBNS, kes telah menjalani saringan kedua rT-PCR COVID-19 pada 22 Oktober 2020 dan keputusan ujian rT-PCR pada 23 Oktober 2020 mendapati kes positif COVID-19. 

“Kes tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala jangkitan dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Sehingga 24 Oktober 2020, jam 12 tengahari, sejumlah enam individu telah disaring di mana tiga kes dikesan positif COVID-19 dan tiga individu dikesan negatif,” katanya. 

Bagi Kes Ke-774, 775, dan 776, kata Jawatankuasa itu, ketiga-tiga kes ini merupakan kontak rapat kepada kes ke-768 yang telah disahkan positif COVID-19 pada 18 Oktober 2020. 

“Ketiga-tiga kes baharu ini dikesan melalui saringan kali kedua pada 23 Oktober 2020. Mereka juga merupakan kontak rapat kepada kes ke-770 yang juga telah mendapat jangkitan daripada kes ke-768,” ujarnya.

Jelasnya, Kes Ke-774 melibatkan wanita warganegara tempatan yang merupakan petugas kesihatan di sebuah fasiliti kesihatan kerajaan di Kuching.

“Kes mengalami gejala demam dan batuk bermula 14 Oktober 2020.

“Kes Ke-775  pula melibatkan wanita warganegara tempatan yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pusat membeli-belah di Kuching. Manakala Kes Ke-776 merupakan wanita warganegara tempatan yang bekerja sebagai tukang masak di sebuah fasiliti kesihatan kerajaan di Kuching dan kes mengalami gejala demam selain batuk bermula 6 Oktober 2020,” katanya.

Ujar JPBNS lagi, ketiga-tiga kes ini telah menjalani saringan pertama rT-PCR pada 18 Oktober 2020 dan keputusan ujian rT-PCR pertama adalah negatif untuk COVID-19. 

“Kes-kes ini telah menjalani saringan kedua rT-PCR COVID-19 pada 23 Oktober 2020 dan keputusan ujian rT-PCR pada 23 Oktober 2020 mendapati kes positif COVID-19. Kesemua kes telah dimasukkan ke wad pengasingan di HUS untuk rawatan lanjut. 

“Sehingga 24 Oktober 2020, jam 12 tengahari, sejumlah 68 individu telah disaring, di mana  lima kes dikesan positif COVID-19 termasuk indeks kes manakala 63 individu dikesan negatif,” katanya.

Sementara Kes Ke-777 dan 778 pula, kata JPBNS, dua kes ini merupakan kontak rapat kepada kes ke-771 yang telah dilaporkan pada 23 Oktober 2020. 

“Kes-kes ini telah menjalani saringan kendiri di sebuah fasiliti kesihatan swasta di Kuching pada 23 Oktober 2020 selepas kes ke-771 didapati positif COVID-19. 

“Kes Ke-777 melibatkan seorang wanita warganegara tempatan yang bekerja sebagai peniaga di Kuching. Lokasi perniagaan penjual kuih yang positif COVID-19 di daerah Kuching ini adalah di Tapak Pembinaan Jalan Seladah, Jalan Song, berhampiran Sarawak Blessed Church; Sebelah Batu Kawa Emart; Berdekatan Steven Yong Shell; Yongkong Hardware; Batu 4 1⁄2 Carwash; Bako Kaya dan Royal Richmond Gold Condominium,” jelasnya.

Sehubungan itu, JPBNS menasihatkan individu yang pernah membeli kuih daripada kes ke-771 dan kes ke-777 dalam tempoh dua minggu lepas untuk tampil menjalani saringan COVID-19.

“Untuk Kes Ke-778 pula melibatkan seorang wanita warganegara tempatan yang merupakan pelajar di China. Kes telah berada di Sarawak sejak 13 Januari 2020.

“Kedua-dua kes iaitu Kes Ke-777 dan ke-778 mempunyai sejarah jangkitan saluran pernafasan seminggu lepas tetapi telah pulih. Kesemua kes telah dimasukkan ke wad pengasingan di HUS untuk rawatan lanjut,”katanya.

JPBNS menambah, bagi Kes Ke-779 adalah seorang surirumah warganegara tempatan yang dikesan selepas kes menjalani saringan COVID-19 di hospital swasta kerana bakal melahirkan anak secara caesarean. 

“Kes telah menjalani saringan COVID- 19 pada 23 Oktober 2020 dan hasil keputusan ujian mendapati kes positif COVID-19 pada hari yang sama. Kes tidak mengalami sebarang tanda dan gejala dan kes juga tidak mempunyai sejarah keluar negara atau kawasan berisiko tinggi serta tidak mempunyai kontak dengan kes positif COVID-19,” katanya.

Tambahnya, kes ini masih dalam siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar jangkitan dan aktiviti pengesanan kontak rapat kepada kes ini dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan. 

“Sehingga punca jangkitan kes ini diketahui, ia akan dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan berdasarkan sejarah awal pergerakan kes,” kata Jawatankuasa itu.

Manakala Kes Ke-780 iaitu kes kelapan COVID-19 yang dikesan merupakan seorang lelaki warganegara tempatan yang bekerja sebagai tukang paip di Kuching. 

“Kes telah menjalani saringan kendiri COVID-19 di sebuah fasiliti kesihatan swasta pada 23 Oktober 2020 kerana mengadu batuk, sakit tekak dan sakit badan sejak 22 Oktober 2020. Hasil keputusan ujian rT-PCR mendapati kes adalah positif COVID- 19 pada hari yang sama,” ujarnya.

Kes ini, tambah JPBNS, tidak mempunyai sejarah keluar negara atau kawasan berisiko tinggi dan tidak mempunyai kontak dengan kes positif COVID-19. 

“Kes ini masih dalam siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar jangkitan. Aktiviti pengesanan kontak rapat kepada kes ini dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan. 

“Sehingga punca jangkitan kes ini diketahui, kes ini akan dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan berdasarkan sejarah awal pergerakan kes,” ujar JPBNS lagi.

Dalam pada itu,  Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak mengisyhtiharkan satu kluster baharu iaitu Kluster Baki di Daerah Kuching. 

Indeks Jakes kepada kluster ini katanya, merupakan kes ke-768 yang telah disahkan pada 18 Oktober 2020. 

“Seramai 68 orang kontak kepada kes ini telah disaring. Satu daripada kontak tersebut iaitu kes ke-770 telah didapati positif COVID-19 pada 22 Oktober 2020 dan tiga lagi kontak iaitu kes ke- 774, 775 dan 776 didapati didapati positif COVID-19 pada 23 Oktober 2020. 

“Ini menjadikan jumlah kes dalam Kluster Baki ialah seramai lima (5) orang termasuk kes indeks,” katanya.

Kata JPBNS, setakat ini Kluster Baki adalah masih terkawal dan hanya melibatkan ahli keluarga terdekat sahaja. 

“Bagaimanapun, siasatan lanjut dan pengesanan kontak lain kepada kluster ini sedang giat dilakukan oleh JKN Sarawak untuk mengelak berlakunya perebakan yang lebih serius.

“Active Case Detection (ACD) bagi kluster ini akan bermula pada 25 Oktober 2020 dan mohon kepada semua yang akan dihubungi oleh KKM untuk memberi kerjasama demi keselamatan dan kesejahteraan awam,” katanya.

JPBNS memberitahu dengan kluster baharu itu, sekaligus menjadikan jumlah kluster yang masih aktif di Sarawak meningkat kepada tiga kluster. 

Kluster-kluster yang masih aktif Kluster Bah Arnab di Daerah Kuching, Kluster Putra di Daerah Bintulu dan Kluster Baki.
 

  • oleh
  • Advertisement