Anda di sini

Bangunan baharu Surau Darul Ikhlas, Kampung Senadin Jaya siap awal Nov

Advertisement
 Lee (tengah) membuat pemeriksaan projek bangunan baharu Surau Darul Ikhlas di Kampung Senadin Jaya kelmarin.
TINJAU: Lee (tengah) membuat pemeriksaan projek bangunan baharu Surau Darul Ikhlas di Kampung Senadin Jaya kelmarin.

MIRI: Bangunan baharu Surau Darul Ikhlas, Kampung Senadin Jaya di Lutong dijangka siap dan diserahkan kepada jawatankuasa surau pada awal November depan.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, pembinaan yang dimulakan pada Mei tahun lepas terpaksa ditangguhkan kerana COVID-19, tetapi beliau memberi jaminan projek itu akan siap bulan depan.

Menurutnya, bangunan baharu tersebut akan menggantikan bangunan Surau Darul Ikhlas sedia ada yang dibina pada 1991.

“Bangunan lama itu kecil dan tidak mempunyai kawasan parkir. Ia tidak dapat menampung peningkatan jumlah penduduk di Kampung Senadin Jaya.

“JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) dan jawatankuasa surau secara bersama memohon untuk surau baharu melalui Jabatan Agama Islam Miri,” katanya selepas melawat tapak projek tersebut kelmarin.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin memberitahu, susulan permohonan tersebut, beliau berjaya mendapatkan peruntukan berjumlah RM600,000 daripada kerajaan negeri untuk pembinaan bangunan baharu surau.

Hadir sama Pengurus Wilayah Utara Sarawak Energy Berhad (SEB) Tan Joo Kok, Pemanca Abang Mohamad Dato Sri Abang Othman, Penghulu Nasir Rahim, Ketua Kaum Ra’amah Hamda dan ahli JKKK Kampung Senadin Jaya dan Surau Darul Ikhlas.

Sementara itu, Ra’amah bagi pihak penduduk Kampung Senadin Jaya mengucapkan terima kasih kepada Lee dan kerajaan negeri kerana memberikan mereka surau baharu.

“Bagi pihak penduduk di Kampung Senadin Jaya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Sarawak dan YB Datuk Lee atas bantuannya dan juga menjaga penduduk Kampung Senadin Jaya secara konsisten,” ujarnya.

Advertisement