Anda di sini

Tiong akui berjumpa, bukan bermakna ‘hubungan baik’ dengan samseng di Sibu

Advertisement
TIONG
TIONG

SIBU: Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing menyelar tanggapan sesetengah pihak yang mendakwa beliau mempunyai ‘hubungan baik’ dengan samseng di Sibu.

Sebagai ahli politik yang sering berjumpa dengan pelbagai jenis dan kerenah rakyat, perkara sedemikian tidak dapat dielakkan, ujarnya.

“Saya percaya bahawa dalam kehidupan, kita bertemu dengan pelbagai jenis orang dengan pelbagai latar belakang.

“Memang spekulasi yang dibuat itu menimbulkan kerisauan serta memberi kesan negatif di kalangan orang ramai terhadap kehadiran saya di Sibu ini.

“Tetapi tidak bermakna saya melindungi para samseng ini untuk menggalakkan mereka melakukan kerja-kerja tidak berfaedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau turut mengakui pernah berjumpa dengan kalangan masyarakat yang dilabelkan sedemikian namun tidak bermaksud mempunyai ‘hubungan baik’ dengan mereka.

“Sejujurnya saya telah menghubungi individu bergelar samseng dengan harapan melalui rundingan dan komunikasi yang sihat sebagai sahabat, mereka dapat dipujuk untuk tidak menjadi samseng seterusnya dapat menyumbang kepada masyarakat dengan keadaan aman dan harmoni demi kebaikan Sibu.

“Seperti dulu, saya telah menggunakan pendekatan yang serupa dengan samseng-samseng di Bintulu untuk membawa mereka ke jalan yang benar dan kembali ke pangkal jalan bagi menjadi insan yang berguna,” tegasnya yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China.

Tiong berkata, masyarakat tidak seharusnya memandang hina samseng kerana mereka juga anggota masyarakat.

“Ini bukan bermaksud saya melindungi mereka sebaliknya yakin mereka boleh kembali ke pangkal jalan apabila diberi peluang serta dapat membina semula kehidupan mereka seperti masyarakat normal.

“Sekiranya diberi peluang untuk bertaubat, kita boleh membantu mereka memperbetulkan cara mereka dengan mencari rezeki yang halal bagi membina kehidupan baharu,” jelasnya lagi.

Ahli Parlimen Bintulu itu bagaimanapun tetap tidak bertolak ansur dengan kegiatan jenayah yang mengancam keamanan dan keselamatan masyarakat.

“Saya tidak membela mereka secara membuta tuli.

“Sebarang kejahatan, penjenayah mesti menerima akibatnya melalui proses undang-undang atas tindakannya,” tegas beliaui.

“Saya ingin menggesa samseng ini untuk mempertimbangkan masa depan mereka dan berfikir sedalam-dalamnya sebelum terlambat.

“Berubahlah demi keluarga dan masa depan anda,” kata Tiong.

“Jenayah tidak berakhir dengan kesenangan atau kebahagiaan lambat-laun tetap ditangkap polis dan dihadapkan ke mahkamah.

“Menyesallah sekarang dan jangan menyesal kemudian kerana ia mungkin sudah terlambat,” ujarnya lagi.

Advertisement