Anda di sini

Sitti Rahmah G Ibrahim, menulis kerana ingin berbakti

Advertisement
 

SEMARAK dunia kesusasteraan Sabah sejak penghujung tahun 70-an hingga kini pasti banyak diwarnai oleh kemunculan penulis-penulis wanita yang hadir dengan karya-karya mereka yang bermutu dalam pelbagai genre. 

Salah seorang penulis wanita yang prolifik dan dikenali ramai di kalangan pembaca khususnya khalayak sastera ialah Sitti Rahmah G Ibrahim. Berkat ketajaman penanya, beliau berjaya menghasilkan sebanyak 18 buah novel iaitu tiga novel kanak-kanak, tujuh novel dewasa dan lapan novel remaja. 

Cerpen-cerpennya terkumpul dalam lima kumpulan cerpen perseorangan, dua daripada terbitan DBP dan tiga lagi terbitan swasta. Puisi-puisinya  juga termuat dalam 30 antologi puisi bersama manakala cerpennya turut diterbitan dalam 20 kumpulan cerpen bersama.

SITTI RAHMAH G IBRAHIM
SITTI RAHMAH G IBRAHIM


SITTI RAHMAH G IBRAHIM dilahirkan pada 24 Julai 1959 di Kampung Kolapis Beluran Sandakan. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK Kolapis dari darjah satu hingga enam sebelum melanjutkan pelajaran menengah di SMK Sandakan hingga tingkatan 5. 

Selepas itu, Sitti Rahmah bekerja di sebuah syarikat swasta sebelum bertugas di Jabatan Pelajaran Sabah selama 11 tahun. Kemudian beliau bertugas pula di Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan hingga bersara wajib pada 24 Julai 2019.

Dalam bidang kesusasteraan di  Sabah, Sitti Rahmah mula menulis pada 1978 tetapi karya pertamanya disiarkan pada 1979. Walaupun lebih meminati penulisan novel, beliau juga berkarya dalam genre cerpen, puisi,skrip drama radio dan pentas, cerita rakyat Sabah. 

Novel pertamanya berjudul Hijrah diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada 1988. Sementara dua buah novel yang lain, Kuntum Berputik dan Cinta Pun Bersemi diterbitkan oleh penerbit swasta.  Beliau sering menulis pelbagai tema dalam karya-karya seperti soal pendidikan, pembangunan dan kebudayaan.

Sepanjang penglibatan dalam bidang penulisan, beliau pernah memenangi beberapa hadiah dalam pertandingan menulis kreatif. Beliau pernah menerima Hadiah Galakan Sastera DBP Sabah, Hadiah Penulis Skrip Drama Pentas Berbakat pada 1985 dan hampir setiap tahun memenangi Hadiah Sastera Sabah anjuran DBP Sabah, hadiah paling berprestij di negeri ini. Kini beliau adalah Timbalan Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA).

SITTI RAHMAH G IBRAHIM
SITTI RAHMAH G IBRAHIM

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang menemuramah SITTI RAHMAH G IBRAHIM, penulis yang tidak asing lagi di negeri ini melalui aplikasi WhatsApp. Ikuti petikan temuramah mengenai perjalanan hidupnya dari seorang anak kampung yang kurang menyerlah dalam mata pelajaran Bahasa Melayu tetapi akhirnya berjaya menjadi salah seorang penulis terkenal di negeri ini. “Dulu kakak lebih cemerlang dalam subjek matematik,” kata Sitti Rahmah yang lebih mesra membahasakan dirinya kakak kepada Utusan Borneo.

UTUSAN BORNEO:    Boleh ceritakan sedikit latar belakang kakak? Anak ke berapa dalam keluarga?

SITTI RAHMAH G IBRAHIM (SRGI):    Kakak anak yang sulung  dari sembilan orang adik beradik dan  sangat disayangi oleh keluarga. Ayah bernama Ibrahim Gusti Elam, seorang nelayan dan  askar wataniah yang selalu ditugaskan di Pulau Jambongan dan di kawasan perairan manakala ibu ,Kuntum Jumaat, seorang suri rumah.

UB:     Di mana kakak mendapat pendidikan awal? Boleh cerita sikit pengalaman ketika sekolah rendah? Berapa bekal ke sekolah?

SRGI:    Kakak mendapat pendidikan di SRK  Kolapis, Beluran dari darjah satu hingga enam. Kemudian kakak melanjutkan sekolah menengah di SMK Sandakan hingga tingkatan 5.

UB:Boleh cerita sikit pengalaman ketika sekolah rendah? 
SRGI:    Antara yang paling tidak dapat dilupakan ialah kakak pernah didenda oleh Cikgu Borhan kerana tidak pandai menulis karangan dalam bahasa Melayu. Kakak didenda berlari di padang daripada pukul 11.00 pagi hingga masa habis sesi sekolah pada hari itu. Sejak itu kakak menanamkan tekad untuk menjadi seorang penulis yang hebat. Sebenarnya ketika sekolah rendah , kakak hebat dalam mata pelajaran matematik tetapi kurang pandai dalam subjek bahasa Melayu.

 Sitti Rahmah bersama Pengarah Pendidikan Sabah, Dr Mistrine Radin.
KENANGAN: Sitti Rahmah bersama Pengarah Pendidikan Sabah, Dr Mistrine Radin.

UB:     Berapa bekal ke sekolah?
SRGI:     Belanja sekolah 20 sen sehari. Dengan duit 20 sen ini, kita boleh beli mi yang di bungkus dengan daun simpur,  dan udang goreng 6 ekor dengan harga 5 sen. Duit  lebih, kakak  beli kueh dibawa balik untuk adik- adik.

UB:     Masih ingat nama nama rakan  sekolah sewaktu belajar di SRK Kolapis?
SRGI:    Ramai, kebanyakan mereka adalah saudara mara juga. Sebahagian rakan sekolah sudah balik berpindah ke Negara Brunei Darussalam. Itulah sebabnya di Brunei, ada nama Kampung Kolapis.

UB:    Dari SRK Kolapis, kakak meneruskan pelajaran ke SMK Sandakan. Masa itu, bagaimana kakak ke Sandakan? Ikut jalan darat atau melalui jalan laut?

 Ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Dr Yusof Yacub berama Presiden dan AJK Bahasa tahun lalu.
KUNJUNGAN: Ketika mengadakan kunjungan hormat kepada Datuk Dr Yusof Yacub berama Presiden dan AJK Bahasa tahun lalu.

SRGI:    Dulu kami ke bandar Sandakan ikut jalan laut.  Ikut kapal nelayan, arwah datuk yang menghantar udang kering ke bandar Sandakan. Ia memakan masa empat atau lima jam ikut kelajuan kapal. 
Pada tahun 1975, baru ada jalan raya dari Beluran ke Sandakan. Sebelum itu pada tahun 1970, kami sekeluarga berpindah ke Sandakan, tinggal di Berhala Darat sehingga kini.

UB:    Siapa antara rakan sekolah di SMK Sandakan masa itu?
SRGI:     Ketika belajar di sekolah menengah, ramai juga yang menjadi orang besar.Salah seorang ialah Datuk Bung Moktar Radin, Ahli Parlimen Kinabatangan, yang kini menjadi Timbalan Ketua Menteri dan menjadi ADUN Lamag.

UB:    Selepas tamat sekolah, dimana kakak bekerja?
SRGI:     Selepas tamat belajar, saya bekerja di syarikat swasta selama 4, dan kemudian bekerja di Jabatan Pendidikan selama 11 tahun. Setelah itu,kakak bertukar di Kementerian Belia dan Sukan  Persekutuan sehingga bersara wajib pada 24 Julai 2019.

UB:     Oh ya, saya ingin tahu pandangan kakak sebagai anak kolapis? Apa beza Kolapis dulu dan sekarang
SRGI: Walaupun kakak jauh merantau, Kampung Kolapis tetap dalam ingatan . Dulu kampung Kolapis tak ada pili dan letrik. pembelajaran jauh ketinggalan. Kini sudah  banyak berubah, ada bekalan elektrik  dan air walaupun airnya tak berjalan lancar, paip  selalu tak ada air. Kita berharap agar wakil rakyat kami dapat membantu. 

Kakak  juga bangga kerana Kampung Kolapis sudah melahirkan ramai orang terpelajar. Ada  yang jadi doktor, guru-guru, pegawai tinggi kerajaan, walaupun ia tetap sebuah kampung yang tidak ada pembangunan yang hebat. Pada kakak yang paling penting masyarakatnya bangkit bersama tamadun.

UB: Apa petua ibu bapa yang masih diingati?
SRGI:    Kalau mahu kita disayangi dan dihormati orang  kita harus menyayangi dan menghormati orang, sentiasa sabar dan berbuat baik kepada semua orang, sekali pun orang itu jahat dengan kita . Kita mesti menjaga perhubungan keluarga dengan akrab. Dalam bekerja, kita haruslah jujur dan bertanggungjawab. Sementara itu, ibu pula berpesan agar kita berbaik dengan semua orang. Ibu juga menasihatkan  tak baik menyimpan dendam. Mungkin kerana sikap ayah dan ibu yang sangat baik, mereka amat disayangi oleh jiran dan saudara mara.

 Bersama rakan-rakan penulis ketika berkunjung ke Kerala.
LAWATAN: Bersama rakan-rakan penulis ketika berkunjung ke Kerala.


UB:     Oh ya. Kembali kepada soal penulisan.Bila kakak mula berkarya?
SRGI:     Kakak mula berkarya pada tahun 1978 ketika  masih di alam persekolahan. Kakak  lebih minat menulis dalam genre novel. Bagi kakak menulis novel satu kepuasan, boleh menulis panjang-panjang. Kakak juga  menulis puisi untuk disimpan sahaja, tak pernah siar sejak 1978. Puisi kakak hanya tersiar pada 1985 dan kakak  lebih suka menulis tentang politik,  apatah lagi pada masa itu pergeseran politik antara PBS dan Berjaya.

UB:    Pernah ikut peraduan?
SRGI:    Pada tahun 1981, kakak sudah menulis novel pertama, Bunga Daun Puding untuk menyertai peraduan menulis anjuran Kerajaan Negeri dan BISA. Kakaklah yang mengajak Obasiah Haji Usman menulis novel.

UB:    Menarik sekali pengalaman kakak.  Teruskan cerita bagaimana pengalaman menulis novel?
SRGI:    Kakak akan berjalan kaki  dari rumah kerajaan ke Batu 2 semata-mata untuk berbincang dengan Obasiah mengenai tema novel yang akan kami tulis. Tapi kakak  seorang saja perempuan yang menulis, Obasiah tak jadi ikut.Namun kakak hanya mendapat saguhati dalam peraduan itu. Tapi tidak ada pemenang 1,2 3 hanya pemenang saguhati. Sayangnya novel itu tidak diterbitkan, dan kakak pun tak menyimpan salinan manuskrip berkenaan. 

UB:     Dimana karya pertama disiarkan? Mengenai apa?
SRGI:  Karya pertama kakak yang disiarkan ialah cerita rakyat di RTM pada tahun  1978. Cerpen Catatan Di Rumah Panjang disiarkan pada  1979 di Sabah Times mengenai cerita di rumah panjang, Cerpen ini terpilih untuk memenangi Hadiah Sastera Sabah.

UB:     Apa  perasaan kakak ketika pertama kali karya tersiar?
SRGI:     Ketika kali  pertama karya saya tersiar. saya sungguh gembira. Saya bagi tahu arwah ayah saya,” bapak saya sudah jadi penulis, ini karya saya” Arwah bapak sungguh bangga anaknya menjadi penulis

UB: Apa genre yang diminati?

SRGI:    Kakak paling minat genre novel, masih banyak novel kakak yang belum terbit, kakak akan usahakan terbit sendiri. Lepas covid baharu kakak mencari penerbit, manakala  3 lagi  cerpen masih dalam proses penerbitan di DBP.

UB:    Biasanya menulis pagi atau malam?boleh ceritakan sedikit proses berkarya?
SRGI:     Kakak berkarya bebas, tidak tentu masa. sebelum  kakak menulis  kakak mesti rancang dulu tema apa yang di tulis, semua rangkanya simpan di kepala dan cernakan dalam pemikiran tanpa ditumpahkan di kertas. Apabila kakak yakin cerita sudah lengkap baharulah kakak menghadap laptop dan terus menaip, kakak boleh menyiapkan sebuah novel tiga minggu dan edit ejaan 1 minggu.Kakak menulis dari pagi malam dan subuh,  

UB:     Apa tema yang kakak minati dalam berkarya?
SRGI:    Tema yang kakak lebih suka ialah budaya setempat, dan tema  kasih sayang

UB:    Siapa yang banyak memberi dorongan dalam penulisan?
SRGI:     Arwah ayah, kakak Datuk Hajah  Zaiton Ajamain, Datuk Jasni Matlani  dan kawan-kawan. Kakak juga berfikir dalam hidup kita, kita kena memberi sumbangan untuk negara, ini sumbangan kakak sebagai penulis iaitu menulis mencatat apa yang berlaku di keliling kita  


UB: Setakat ini, sudah berapa karya yang kakak hasilkan?
SRGI:    Setakat ini, kakak sudah menulis sebanyak 18 buah novel iaitu tiga novel kanak-kanak, tujuh novel dewasa dan lapan novel remaja. Cerpen-cerpen terkumpul dalam lima kumpulan cerpen perseorangan, dua daripada terbitan DBP dan tiga lagi terbitan swasta. Puisi-puisi  juga termuat dalam 30 antologi puisi bersama manakala cerpennya turut diterbitan dalam 20 kumpulan cerpen bersama.

Sekarang masih satu kumpulan cerpen, satu novel kanak-kanak dan satu novel remaja yang masiih dalam proses penerbitan.

UB:  Oh ya ? Apa cita-cita kakak sewaktu kecil? Pernah terfikir menjadi penulis?
SRGI: Saya ingin menjadi orang terkenal, ingin meninggalkan bakti untuk negara. Akhirnya semasa tingkatan satu, apabila terbaca  puisi, saya bercita-cita menjadi penulis.Alhamdulillah kini saya sudah menjadi penulis. Beberapa cerpen remaja saya terpilih sebagai buku bacaan dan Novel Hijrah menjadi bacaan teks tambahan.

.
UB:    Apa pandangan terhadap sastera Sabah? Maju atau sebaliknya?
SRGI:    Pada pandangan kakak,  sastera Sabah, sudah menunjukkan peningkatan. Ramai penulis muda kita menang pelbagai hadiah di peringkat kebangsàan, walaupun  akhir-akhir ini agak berkurangan apatah lagi penerbitan buku tak serancak dulu.  Yang paling sedih,buku yang diterbitkan agak terhad kerana menghadapi cabaran digital. Walaupun tidak semua  orang di luar sana yang dapat membaca menggunakan digital. Kerana kehendak digital, makin lama, buku akan semakin berkurang dan tidak lagi tersusun dalam rak.

 Kenangan bersama Dr Free Hearty, penulis dari Indonesia ketika lawatan di India.
ALBUM: Kenangan bersama Dr Free Hearty, penulis dari Indonesia ketika lawatan di India.

Dan sejak wabak Covid-19 melanda negara, banyak kegiatan sastera yang tertangguh dan dianjurkan  secara on line. Pada saya, ini  kurang memberi impak, rasa sunyi dan tak meriah seperti biasa kerana khalayaknya terhad. Kami juga di Badan Bahasa dan Sastera Sabah , terpaksa menangguhkan banyak seminar sastera.

UB: Apa nasihat  kakak kepada penulis muda?
SRGI:    Untuk penulis muda dan baharu,  teruslah menulis  dengan idea dan tema  baharu yang penuh dengan ilmu.  Jangan lupa menulis budaya dan warna-warna setempat yang masih banyak belum diteroka. Ingatlah bahawa   menulis ini perlu banyak kesabaran dan bamyak menyita masa lapang kita. Menulis dan terus menulis.

Advertisement