Anda di sini

Sarawak Energy peroleh RM100 juta SLL daripada CIMB Bank

Advertisement
 (Kiri, dari atas) Abdul Hamed, Sharbini dan Ketua Pegawai Kewangan Sarawak Energy Alexander Chin dan (kanan, dari atas) Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Jefferi Hashim, Ketua Bahagian Perbankan Korporat CIMB Bank Lo Nyen Khing dan Ketua Bahagian Kelestarian Kumpulan CIMB Luanne Sieh semasa majlis pengumuman penerimaan SLL bersama Sarawak Energy.
TAHNIAH: (Kiri, dari atas) Abdul Hamed, Sharbini dan Ketua Pegawai Kewangan Sarawak Energy Alexander Chin dan (kanan, dari atas) Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Investment Bank Jefferi Hashim, Ketua Bahagian Perbankan Korporat CIMB Bank Lo Nyen Khing dan Ketua Bahagian Kelestarian Kumpulan CIMB Luanne Sieh semasa majlis pengumuman penerimaan SLL bersama Sarawak Energy.

KUCHING: Sarawak Energy Berhad berjaya memperolehi RM100 juta Pinjaman Berkaitan Kelestarian (SLL) dalam bentuk kemudahan kredit pusingan daripada CIMB Bank Berhad, baru-baru ini.

Menurut kenyataannya semalam, ia menjadikan Sarawak Energy sebagai syarikat pertama di Sabah dan Sarawak serta syarikat utiliti pertama di Malaysia yang mendapat pinjaman berkaitan dengan Sasaran Prestasi Kelestarian (SPT).

Pengumuman mengenai kelulusan pinjaman SLL itu dibuat secara maya pada sesi ‘Fireside Chat’ bersama Sarawak Energy mengenai ‘Creating a Sustainable Business Model that Works’ sempena ‘CIMB’s The Cooler Earth Sustainability Summit 2020.’

Pengerusi Sarawak Energy Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi berkata, “Sarawak Energy memainkan peranan penting sebagai pemaju tenaga dan utiliti utama di Sarawak dan sebagai pelaksana visi serta inisiatif strategik kerajaan Sarawak dalam penyediaan tenaga bersih, tenaga boleh diperbaharui dan berpatutan kepada masyarakat kita.

“Kami berusaha untuk melaksanakan kelestarian ke dalam perniagaan, operasi dan interaksi kami dengan masyarakat.

“Melalui pendekatan yang lebih strategik untuk kelestarian, kami mewujudkan nilai untuk semua pihak berkepentingan dengan menguruskan peluang dan risiko jangka panjang.

“Pinjaman berkaitan kelestarian ini menunjukkan usaha kami dalam kelestarian bukan hanya baik untuk alam sekitar, tetapi juga baik untuk perniagaan.”

Mengulas mengenai pencapaian itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datu Sharbini Suhaili berkata, “Kami gembira dapat memperoleh pinjaman berkaitan kelestarian pertama kami dengan CIMB, yang akan menyokong perjalanan kami untuk memenuhi keperluan Sarawak dan rantau ini untuk tenaga yang boleh dipercayai dan boleh diperbaharui.

“Kami menyedari pentingnya pembiayaan lestari dan ini adalah sebahagian daripada usaha kami dalam pengurusan lestari dan menggunakannya dalam strategi pembiayaan kami untuk meningkatkan prestasi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kami.”

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Datuk Abdul Rahman Ahmad berkata, “CIMB gembira dapat menyokong Sarawak Energy dalam perjalanan usaha kelestarian mereka.

“Kami memandang serius komitmen untuk kelestarian dan memahami peranan kami dari pelbagai aspek sebagai institusi kewangan dalam bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk mempromosikan pembangunan lestari.

“SLL ini adalah bukti komitmen kami dengan menjadikan pertimbangan persekitaran dan sosial dalam syarat pembiayaan untuk memberi insentif dan mendorong tingkah laku korporat yang lestari.

“Tawaran SLL kami diterima dengan baik sejak pertama kali kami memperkenalkannya awal tahun ini, dan kami berharap dapat mengumumkan lebih banyak SLL serta produk dan perkhidmatan berimpak lebih positif untuk pelanggan kami dalam masa terdekat.”

Advertisement