Anda di sini

PRN Sarawak perlu dapat nasihat pakar kesihatan, utamakan keselamatan rakyat

Advertisement
 

KUCHING: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diadakan hanya selepas mengambil kira nasihat pakar terutama pihak berkuasa kesihatan iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai pertimbangan kepada keselamatan rakyat negeri ini daripada pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg (gambar) berkata meskipun beliau belum membuat sebarang keputusan mengenai bila PRN diadakan tetapi, Sarawak tidak dapat mengelakkan daripada mengadakan pilihan raya kerana akan tamat penggal tidak lama lagi.

"Kami di GPS (Gabungan Parti Sarawak) sedang menilai kedua-duanya, iaitu PRN dan COVID-19, ini kerana penggal DUN kita juga akan tamat April 2021, yang mana selepas itu kita ada tempoh pembubaran automatik, iaitu pada Jun.

"Kita harus melihat kedua-dua faktor kerana kita tidak dapat meramalkan kes COVID-19 tetap kekal satu digit dan kita perlu mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan sama ada harus mengadakan pilihan raya atau sebaliknya," katanya pada sidang media Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 4.0 di sini, hari ini.

Pengerusi GPS itu berkata, beliau amat prihatin dengan kesihatan rakyat negeri ini terutama dalam situasi wabak yang melanda negeri dan negara, tetapi pada masa yang sama tidak dapat mengelak untuk mengadakan pilihan raya.

Abang Johari berkata, ia adalah satu situasi yang amat kompleks dan sukar dimana beliau perlu mempertimbangkan antara keselamatan rakyat dan perlunya pentadbir yang memiliki mandat dalam menguruskan wabak COVID-19 serta memperkukuhkan ekonominya.

"Kita tidak dapat melaksanakan langkah-langkah membantu rakyat  (semasa COVID-19) jika kita tidak mempunyai mandat.

"Kita bukan gila kuasa (untuk mengadakan pilihan raya). Apa yang penting kita mempunyai kerajaan yang mempunyai mandat bukan sahaja untuk menguruskan COVID-19 tetapi mentadbir urus negeri dan ekonomi," katanya.

Disebabkan faktor itu beliau katanya perlu mendapat nasihat pakar kesihatan sama ada pilihan raya diadakan atau tidak.

"Sekarang ini persoalannya adalah sama ada pilihan raya atau tidak, jika ia diadakan maka kita biarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menguruskannya selepas itu menerusi prosedur pengendalian standard (SOP) yang mereka tentukan," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement