Anda di sini

Pengusaha, pekebun kecil diminta sertai koperasi sawit tingkat hasil segar

Advertisement

KENINGAU: Pengusaha dan pekebun kecil sawit di sini disaran menyertai Koperasi Penanam Sawit Mampan Apin Apin Bingkor Berhad (KPSMAAB) untuk meningkatkan pengeluaran buah tandan sawit segar.

Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik berkata penglibatan kalangan pengusaha dan pekebun kecil sawit ke dalam koperasi itu dapat memberi mereka akses input perladangan yang berterusan.

"Koperasi itu sendiri bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran buah tandan sawit segar di kalangan pengusaha dan pekebun kecil,"katanya.

Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata demikian ketika meninjau kerja-kerja pembinaan pusat timbang buah tandan sawit segar milik koperasi berkenaan di Kg Liau Apin Apin kelmarin.

Jelas Robert, penyertaan pengusaha dan pekebun kecil sawit ke dalam koperasi diharap dapat membantu meningkatkan pengeluaran buah tandan segar berkualiti.

Robert menyatakan penyatuan kalangan pengusaha dan pekebun kecil dalam gerakan koperasi juga dapat memudahkan kerajaan menyalur bantuan khususnya dalam aspek pemindahan teknologi dan memperoleh maklum balas.

Kata Robert, sebahagian input pertanian turut disalurkan melalui koperasi untuk kemudahan kalangan pengusaha dan pekebun kecil.

Robert berharap kalangan pekebun kecil dapat memanfaat kemudahan penjualan buah tandan seger untuk memperoleh jaminan harga yang lebih baik.

Sementara itu Robert meminta kontraktor agar mempercepat pembinaan pusat timbang itu demi memberi pekebun kecil manfaat secepatnya menjual hasil sawit terus ke kilang tanpa melalui orang tengah.

  • oleh
  • Advertisement