Anda di sini

Majlis Daerah Nabawan laksana operasi disinfeksi

Advertisement
 Proses disinfeksi di kawasan tumpuan awam di Nabawan.
DISINFEKSI: Proses disinfeksi di kawasan tumpuan awam di Nabawan.

NABAWAN: Majlis Daerah Nabawan (MDN) telah menjalankan proses disinfeksi awam di kawasan tumpuan umum daerah ini pada Khamis.

Pegawai Daerah Nabawan, Peter Jonu  @ Peter J. Moinjil berkata, proses disinfeksi dilaksanakan bagi membantu mengekang penularan COVID-19 di daerah berkenaan.

“Antara kawasan tumpuan utama yang kita laksanakan adalah di sekitar Pasar Awam, premis-premis perniagaan dan tempat-tempat awam di sekitar pekan Nabawan bagi memastikan lokasi-lokasi ini bersih memandangkan ia merupakan kawasan tumpuan awam.

PETER
PETER

"Operasi ini dilaksanakan pada sebelah petang Khamis iaitu selepas penutupan operasi pasar dan kedai.  

“Keadaan pekan yang lengang pada ketika itu membolehkan operasi disinfeksi ini dapat dilaksanakan dengan lancar," ujarnya.

Peter juga berkata operasi disinfeksi ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan tumpuan di daerah Nabawan terjamin dari segi kebersihannya. 

Peter yang juga Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah Nabawan turut menyeru masyarakat di daerah ini untuk memberi kerjasama dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi membantu menyekat penularan COVID-19.

“Selain itu, pejabat-pejabat kerajaan negeri dan persekutuan, kedai-kedai serbaneka, restoran, bank serta pusat-pusat internet juga digalakkan membuat disinfeksi sendiri di premis masing-masing dari masa ke semasa,” tambahnya.

Operasi disinfeksi berkenaan dilakukan oleh enam kakitangan MDN dari unit Disinfeksi yang diketuai oleh Pegawai Eksekutif MDN, Rizal Maulah.

Selain MDN, operasi berkenaan juga mendapat kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah Nabawan dan Pejabat Penerangan Daerah Nabawan.

  • oleh
  • Advertisement