Anda di sini

Lanjutan BKSS babitkan RM104.84 juta

Advertisement
Abang Johari menunjukkan ucapannya mengenai BKSS 4.0. Gambar Chimon Upon.
Abang Johari menunjukkan teks mengenai BKSS 4.0. - Gambar Chimon Upon.

KUCHING: Kerajaan negeri melanjutkan tujuh langkah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) sehingga hujung tahun ini bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata BKSS 4.0 itu melibatkan kos RM104.84 juta dan kali ini menyaksikan bayaran sekali RM500 kepada pemandu perkhidmatan e-panggilan (e-hailing) dan guru memandu, sebagai satu lagi langkah tambahan

"Pada Julai 2020, kerajaan Sarawak telah membantu pihak berkaitan dalam sektor pengangkutan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 seperti pemandu teksi, pengendali bas sekolah dan van, pengendali van berlesen dan pengenali perahu penambang di negeri ini.

"Kali ini tanpa meminggirkan pemandu e-panggilan, kabinet saya telah memutuskan untuk memberikan bantuan serupa kepada 2,396 pemandu e-panggilan dan 791 guru memandu di negeri ini dan bantuan sekali gus RM500 yang menelan belanja sebanyak RM1.59 juta," katanya pada sidang media bagi mengumumkan BKSS di sini, hari ini.

Abang Johari berkata dari segi pembayaran bantuan kepada pemandu e-panggilan dan guru memandu, ia akan dibayar seperti yang lain iaitu menerusi aplikasi Sarawak Pay.

Mengulas lanjut mengenai BKSS 4.0, beliau berkata terdapat tujuh langkah yang akan dilanjutkan tempohnya sehingga hujung tahun ini.

Antara tujuh langkah yang dilanjutkan itu katanya, diskaun bil elektrik, diskaun bil ari, diskaun sewa Perbadanan Pemaju Perumahan sebanyak 50 peratus untuk kediaman, bantuan RM500 sekali gus kepada pemandu e-panggilan dan guru memandu, diskaun 50 peratus untuk sewa pasar dan gerai, pengecualian permit dan bayaran lesen dan pengeculian penyewaan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk sektor runcit yang beroperasi di premis milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Sebelum ini kita mengumumkan BKSS 3.0 dan ia berakhir pada September 2020. Memandangkan situasi pandemik COVID-19 masih lagi berlaku kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk melanjutkan beberapa langkah dibawah BKSS 3.0 sehingga hujung tahun ini," katanya.

Bagi diskaun bil elektrik katanya pengguna domestik, komersial dan perindustrian akan terus diberi potongan diskaun sebanyak lima hingga 25 peratus pada bil elektrik bulanan mereka untuk bulan Oktober hingga Disember 2020.

"Diskaun ini akan memberi manfaat kepada 686,847 pengguna di seluruh Sarawak dan kos terkumpul diskaun berjumlah RM83.4 juta ditanggung oleh kerajaan Sarawak.

"Bagi diskaun bil air, pengguna domestik, komersial dan perindustrian akan terus menerima diskuan sebanyak 10 hingga 25 peratus pada bil bulanan mereka untuk Oktober hingga Disember 2020," katanya sambil menambah ia akan memberi manfaat kepada 568,247 pengguna di seluruh negeri.

Beliau berkata kos diskaun terkumpul adalah RM12.6 juta juga akan ditanggung oleh kerajaan Sarawak.

Abang Johari berkata, untuk potongan diskaun sebanyak 50 peratus bagi skim sewa rumah HDC ia merangkumi tempoh tiga bulan iaitu dari Oktober hingga Disember 2020 dan diharap  dapat memberi manfaat kepada lebih daripada 3,200 pelanggan yang menyewa rumah HDC di seluruh Sarawak.

"Untuk diskaun harga sebanyak 50 peratus untuk sewa pasar dan gerai juga merangkumi jangka masa tiga bulan lagi hingga Disember 2020 dan  diharapkan dapat memberi manfaat kepada lebih daripada 10,000 penjaja yang menyewa pasar dan gerai-gerai terutama di bawah bidang kuasa Majlis Tempatan. 

"Ini akan menelan belanja Kerajaan Sarawak RM0.8 juta," katanya.

Katanya, kerajaan Sarawak terus memberikan pengeculian permit dan yuran lesen kepada peniaga, penjaja, peniaga pasar malam dan pengusaha tamu.

Pengeculian itu kata beliau akan memberi faedah kepada pemegang lesen di pelbagai pihak berkuasa tempatan di seluruh Sarawak dan akan meringankan beban rakyat yang menelan belanja kerajaan negeri sebanyak RM4.12 Juta.

Selain itu kata beliau kerajaan negeri juga akan terus memperluas pengecualian sewa kepada PKS di sektor runcit yang beroperasi di premis milik Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).

Ia termasuk dibawah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (PELITA) dan Lembaga Pembangunan Bintulu (BDA).

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melaksanakan BKSS 1.0, BKSS 2.0 dan BKSS 3.0 bernilai RM2.55 bilion. Ia memberi manfaat kepada kira-kira 3.08 juta penerima dari pelbagai kumpulan seperti kumpulan B40, barisan hadapan, sektor pengangkutan, sektor pelancongan dan sektor perniagaan.
  • oleh
  • Advertisement