Anda di sini

Kedua-dua laluan KM50 Tawau-Semporna dibuka elak kesesakan berpanjangan

Advertisement
HAZANI
HAZANI

TAWAU : Kesesakan jalan raya di KM50 Tawau-Semporna dapat diatasi setelah penilaian ke atasnya dibuat dan membuka kedua-dua laluan di kawasan itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, pihak polis mendapat aduan berhubung berlakunya kesesakan di sekatan jalan raya (SJR) di laluan tersebut.

"Setelah melawat dan membuat penilaian, saya mengarahkan supaya kedua-dua laluan di SJR tersebut dibuka dan jangan biarkan kesesakan berlaku dalam tempoh yang panjang,"katanya ketika ditemui di SJR Batu 2 Jalan Apas, di sini semalam.

Beliau berkata semua SJR di Sabah akan dilawat bertujuan untuk mengetahui permasalahan dan memberi panduan kepada semua petugas yang menjaga SJR.

"Hasil penelitian yang dilakukan, semua petugas di 57 buah SJR di seluruh Sabah termasuk Polis, Tentera dan Rela memahami tugas-tugas yang sudah diberikan semasa bertugas.

"Kita melihat masih ramai orang awam belum faham dan terkeliru dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan contohnya arahan dua orang dalam sebuah kenderaan tetapi masih ramai yang bergerak dalam tiga orang serentak,"katanya.

Hazani turut menegaskan pergerakan rentas sempadan untuk orang awam perlu mendapat surat kebenaran daripada Ibu Pejabat Daerah (IPD) masing-masing.

"Hanya pasukan keselamatan, petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan jabatan yang perlu sahaja boleh bergerak rentas sempadan tanpa kebenaran.

"Manakala syarikat yang membawa barang keperluan seperti makanan perlu mempunyai surat syarikat yang dinyatakan tarikh, masa bergerak serta tidak melebihi dua orang dalam kenderaan dan tidak dibenarkan bermalam di lokasi penghantaran barang,"katanya.

  • oleh
  • Advertisement