Anda di sini

Festival filem terbesar Asia diadakan dalam talian

Advertisement
 Gambar ihsan yang diambil dan dikeluarkan oleh BIFF menunjukkan pengarah filem Korea Selatan Yeon Sang-ho dipaparkan di skrin semasa perbahasan umum mengenai filem zombi ‘Peninsula’ semasa BIFF 2020 di Busan Cinema Center di Busan. — Gambar BIFF / AFP
PENJARAKAN SOSIAL: Gambar ihsan yang diambil dan dikeluarkan oleh BIFF menunjukkan pengarah filem Korea Selatan Yeon Sang-ho dipaparkan di skrin semasa perbahasan umum mengenai filem zombi ‘Peninsula’ semasa BIFF 2020 di Busan Cinema Center di Busan. — Gambar BIFF / AFP

SEBUAH antologi yang memberi penghormatan sinematik kepada Hong Kong menjadi tumpuan utama pada Rabu iaitu hari pembukaan festival filem terbesar di Asia, yang umumnya terpaksa diadakan dalam talian disebabkan oleh pandemik koronavirus.

Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF) biasanya melihat beberapa orang bintang dan pemain industri dari Asia dan rantau lain bertandang ke kota pelabuhan itu selama 10 hari untuk pertimbangan yang kritikal dan membuat perjanjian kewangan.

Tetapi syarat ketat yang dikenakan pada tahun ini disebabkan oleh pandemik bermakna, sementara jaringan dengan penjarakan sosial dilaksanakan, acara pembukaan mahupun acara penutupan tidak akan diadakan, tiada perarakan permaidani merah, tiada parti susulan atau acara peminat di tempat terbuka.

Walaupun demikian, hakikat bahawa ia berlangsung juga adalah berbeza sekali dengan banyak festival antarabangsa yang hanya diadakan dalam talian sahaja, manakala ada festival – seperti Cannes – sudah dibatalkan sepenuhnya.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-25 BIFF dan menyusuli kemenangan anugerah Oscar yang bersejarah bagi pengarah tempatan Bong Joon-ho untuk filem komedi gelap ‘Parasite’ pada Februari lalu iaitu kali pertama sebuah filem bahasa asing memenangi anugerah utama di Hollywood.

Kira-kira 190 buah filem akan ditunjukkan di festival pada tahun ini dan masing-masing hanya sekali sahaja, berbanding lebih 300 filem yang tipikal dan ditayangkan beberapa kali – pengurangan sebanyak 80 peratus dalam tayangan keseluruhan.

Penonton mesti memakai pelitup muka dan hanya sesuku sahaja tempat duduk dalam pawagam boleh digunakan.

Beberapa penonton filem yang kurang berbanding jumlah kakitangan, menuju ke Pusat Pawagam Busan untuk filem pertama pada Rabu, di mana pensanitasi tangan, kod QR dan saringan suhu adalah mandatori untuk masuk.

“Sayangnya ia skalanya telah dikurangkan dengan ketara,” kata penduduk Busan dan pengunjung tetap festival Ahn Tae-jeong, 30.

“Saya sangat kecewa kerana saya tidak dapat menonton banyak filem yang saya ingin lihat.”

Filem pembukaan rasmi adalah tayangan perdana dunia, satu daripada 70 pada tahun ini, bagi ‘Septet: The Story of Hong Kong’, sebuah antologi pelbagai pengarah yang memberi penghormatan kepada wilayah tersebut dari zaman 1950an hingga sekarang.

Diarah oleh Tsui Hark, Ann Hui, Patrick Tam, Johnnie To, Yuen Wo Ping, Ringo Lam dan Sammo Hung, filem itu dibuat dengan cara lama untuk memberi penghormatan kepada zaman keemasan perfileman Hong Kong, dari tahun 1960an hingga tahun 1990an.

Bekas jajahan British itu dahulu merupakan kuasa sinematik serantau, yang menghasilkan sebanyak 200 buah filem bahasa Kantonis setahun yang dinikmati pengunjung pawagam di seluruh Asia dan benua lain.

“Ia merupakan era ‘seratus bunga yang mekar’ – ekspresi kesenian yang bebas – yang memupuk banyak bakat filem,” syarikat penerbitan Media Asia Film Hong Kong menyebut dalam satu kenyataan.

Tetapi sejak penyerahan kepada China pada 1997, studio filem di kota raya itu telah mengalami kemerosotan, ditenggelami pencabar yang lebih mewah dan menjolok mata di tanah besar dan di Korea Selatan.

- ‘Perasaan yang sangat istimewa’ -

Kebanyakan komponen BIFF – termasuk penghakiman, sidang media, pasaran projek dan filem serta forum perbincangan – akan terus diadakan sepanjang festival, tetapi hanya dalam talian sahaja.

“Ia sudah tentulah festival yang berlainan pada tahun ini,” kata Jason Bechervaise, seorang profesor di Universiti Siber Soongsil Korea, kepada AFP.

Penganjur turut menjadualkan kira-kira 45 ceramah tayangan – jauh sedikit berbanding kebiasaan – tetapi memaparkan hanya pelakon dan pembuat filem Korea Selatan sahaja.

Korea Selatan melaksanakan kuarantin selama dua minggu yang ketat ke atas kebanyakan ketibaan, menjadikan lawatan singkat tidak praktikal, sebab itulah penganjur tidak menjemput orang asing – tetapi ada yang akan mengambil bahagian dalam talian.

“Kami berusaha sedaya upaya untuk memberikan perkara paling penting dan perlu dan pada waktu yang sama mematuhi langkah keselamatan COVID-19,” kata pengarah program BIFF Nam Dong-chul kepada AFP.

“Kami rasa apa yang paling penting tentang festival filem adalah untuk menayangkan filem di pawagam, kerana perfileman merupakan bentuk kesenian yang memerlukan skrin besar.”

Tetapi kompromi itu telah mengecewakan segelintir pihak.

“Saya sudah menghadiri beberapa ceramah filem dalam talian sejak COVID, dan saya perlu menyatakan ia adalah teruk sama sekali,” kata pembuat filem Kim So-young, seorang profesor yang tidak pernah melepaskan peluang untuk menghadiri mana-mana edisi BIFF sejak 10 tahun lalu.

“Kita tidak dapat berhubung dengan penonton kita dengan cara yang kita boleh buat di pawagam, terutamanya selepas lampu dihidupkan semula selepas tayangan,” kata wanita itu.

“Terdapat perasaan yang sangat istimewa yang datang daripada kesedaran bahawa anda adalah bersama orang yang baharu sahaja selesai menonton filem anda.” — AFP

Advertisement