Anda di sini

COVID-19: Penjual kuih dan wanita China kes positif baharu di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Seorang penjual kuih dan wanita warganegara China di sini merupakan dua kes positif baharu COVID-19 di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 772 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan media berkata kedua-dua kes baharu itu merupakan jangkitan tempatan.

"Kes ke-771 melibatkan seorang lelaki warganegara tempatan yang bekerja sebagai penjual kuih di Kuching yang mana pesakit menjalani saringan COVID-19 kendiri di sebuah hospital swasta pada 22 Oktober 2020 kerana mengalami kesukaran untuk tidur. 

"Keputusan ujian rT-PCR COVID-19 kes ini telah didapati positif pada hari yang sama," kata kenyataan tersebut.

Jelasnya, kes ini tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau melawat kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19. 

Kes juga tidak mempunyai kontak kepada kes positif COVID-19 dan dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

Manakala kes ke-772 pula melibatkan seorang wanita warganegara China yang menjalani saringan COVID-19 di sebuah hospital swasta di Kuching kerana ingin pulang ke negara asal. 

"Kes telah menjalani ujian rT-PCR COVID-19 pada 22 Oktober 2020 dan keputusan ujian telah mendapati kes positif COVID-19 pada hari yang sama. Kes ini tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara atau melawat kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 dan tidak mempunyai kontak kepada kes positif," tambahnya.

Menurut JPBNS, kes dimasukkan ke wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut namun pesakit ini tidak mengalami sebarang tanda dan gelaja.

"Kedua-dua kes ini masih dalam siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar jangkitan dan aktiviti pengesanan kontak rapat kepada kes-kes ini dan siasatan lanjut sedang giat dijalankan. 

"Sehingga punca jangkitan kes ini diketahui, kes-kes ini akan dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan berdasarkan sejarah awal pergerakan kes," tegas jawatankuasa itu.

Dalam pada itu, JPBNS memaklumkan tiada kluster baharu yang telah dikesan atau dilaporkan dan terdapat dua kluster yang masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Bah Arnab di Kuching dan Kluster Putra di Bintulu.

Selain itu, katanya, seramai enam orang yang disyaki (PUI) baharu telah dilaporkan yang mana empat daripadanya masih menunggu keputusan ujian makmal.

Dalam pada itu, Lubok Antu telah bertukar status daripada kuning kepada hijau kerana tiada kes dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas. 

"Daerah Kuching dan Bintulu kekal berstatus Kuning dengan jumlah keseluruhan seramai 17 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas iaitu 13 kes di Daerah Kuching, empat orang di Daerah Bintulu," ujarnya.

Jawatankuasa itu juga memaklumkan terdapat tiga kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital pada hari ini iaitu satu dari Hospital Umum Sarawak dan dua dari Hospital Bintulu.

"Jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital adalah seramai 32 orang iaitu, 20 kes di wad pengasingan di Hospital Umum Sarawak, tujuh kes di Hospital Miri dan lima kes di Hospital Bintulu," tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement