Anda di sini

47,000 pokok berjaya ditanam sejak program FLR dilancarkan

Advertisement
 Hamden (tengah) melakukan simbolik penanaman pokok pada Program Restorasi Landskap Hutan FORESSA Wilayah Sibu 2020 di Hutan Simpan Kanowit East semalam.
KELESTARIAN ALAM SEKITAR: Hamden (tengah) melakukan simbolik penanaman pokok pada Program Restorasi Landskap Hutan FORESSA Wilayah Sibu 2020 di Hutan Simpan Kanowit East semalam.

KANOWIT: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) telah menanam lebih daripada 47,000 pokok yang merangkumi 37 spesies yang telah ditanam di beberapa lokasi seluruh Sarawak sejak program Restorasi Landskap Hutan (FLR) dilancarkan tahun lepas.

Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Datu Hamden Mohammad berkata, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah memberikan sokongan padu dalam menjayakan kempen penanaman pokok ini dengan meletakkan FLR sebagai salah satu daripada agenda utama kerajaan negeri Sarawak.

“FLR telah dipromosikan secara meluas di peringkat global sebagai satu langkah penyelesaian kepada Pemulihan Kawasan Terosot atau ‘forest degradation’ di seluruh dunia.

“Melalui program FLR ini, ia mampu memulihkan dan menambah nilai kekayaan ekologi dan kepelbagaian biodiversiti serta meningkatkan ekonomi komuniti setempat yang juga merupakan komponen utama dalam Pengurusan Hutan Mampan atau lebih sinonimnya ‘Sustainable Forest Management’,” jelasnya.

Bagi memastikan program restorasi ini menepati Agenda Kerajaan Negeri, DF Circular No. 2/2019 telah dikeluarkan pada Januari 2019 agar setiap syarikat pembalakan yang telah berdaftar dengan JHS menjalankan aktiviti restorasi FLR di setiap kawasan hutan yang telah dibalak.

Hamden berkata, kerajaan negeri melalui JHS melaksanakan kempen penanaman tujuh juta anak pokok setahun atau 35 juta pokok dalam tempoh lima tahun.

“Selain itu juga, FLR ini adalah selari dengan Kempen Penanaman 100 juta pokok oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dalam tempoh lima (5) tahun (2020-2024),” ujarnya pada Program Restorasi Landskap Hutan anjuran bersama Pejabat Hutan Wilayah Sibu dan Kelab FORESSA di Kanowit East Forest Reserve semalam.

Sementara itu, Hamden memberitahu penglibatan Kelab Sosial dan Rekreasi Jabatan Hutan Sarawak (FORESSA) memainkan peranan dalam menjayakan program FLR ini.

“Penglibatan FORESSA dalam aktiviti penanaman pokok dilihat sebagai langkah ke hadapan bukan sahaja bagi menyatukan ahli-ahli, aktiviti ini boleh dilihat sebagai usaha murni untuk menghijaukan bumi,” katanya.

Beliau berkata, FORESSA boleh menjadi contoh terbaik kepada kelab-kelab lain dalam menyokong visi dan misi JHS oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta yang lain.

“Program yang dilaksanakan hari ini boleh dijadikan sebagai titik tolak ke arah pembentukan imej baharu JHS amnya dan FORESSA sendiri khususnya. Jabatan juga akan membantu FORESSA mengikut keperluan semasa terutama kebajikan ahli-ahli,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Hamden berbangga dengan penglibatan ahli-ahli FORESSA seramai lebih kurang 300 untuk menjayakan program menanam 1,000 pokok semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Hutan (Konservasi Hutan dan Pembangunan) dan Presiden FORESSA Jack Liam, Timbalan Pengarah Hutan (Pengurusan Hutan) Abang Ahmad Abang Morni, pegawai-pegawai hutan wilayah dan ahli-ahli FORESSA Zon Tengah.

  • oleh
  • Advertisement