Anda di sini

Wanita berusia 34 tahun di Sibu korban baharu rabies

Advertisement
 

KUCHING: Seorang wanita 34 tahun di Sibu menjadi mangsa korban terbaharu akibat wabak rabies di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, mangsa meninggal dunia pada 18 Oktober 2020 jam 11.30 pagi dengan diagnosa rabies encephalitis di Hospital Sibu. 

"Ini menjadikan jumlah kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak adalah empat orang pada tahun 2020. 

"Kumulatif kes rabies di Sarawak sejak wabak ini diisytiharkan di negeri ini pada 31 Julai 2017 sehingga 21 Oktober 2020 adalah sebanyak 26 kes," katanya. 

Mengulas lanjut korban baharu itu, Dr Noor Hisham berkata, wanita terbabit dimasukkan ke Hospital Sibu pada 12 Oktober 2020 kerana mengalami lemah pada kedua-dua belah kaki sejak lima hari sebelum dimasukkan ke wad. 

Jelasnya, mangsa telah disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dijalankan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 19 Oktober 2020. 

"Siasatan mendapati kawasan kediamannya berdekatan dengan tapak pelupusan sampah di mana terdapatnya banyak anjing liar yang berkeliaran. 

"Mangsa pernah digigit oleh anjing peliharaannya pada penghujung tahun 2018 namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan," tambahnya. 

Malah, tegasnya, anjing peliharaan tersebut bebas bercampur dengan haiwan lain dan tidak pernah diberi suntikan vaksin anti-rabies. 

Menurutnya lagi, haiwan ini telah dibunuh orang awam susulan satu lagi kejadian di mana ia telah menggigit seorang lagi individu. 

Walau bagaimanapun, katanya, tiada sampel dihantar kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak bagi ujian pengesahan jangkitan rabies pada anjing tersebut.

"Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang," ujarnya lagi. 

Sehubungan itu, beliau menasihati orang awam agar mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada penyakit rabies seperti cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur. 

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, orang awam mendapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit oleh haiwan peliharaan yang agresif atau anjing liar, walaupun semasa negara mengalami pandemik COVID-19.

  • oleh
  • Advertisement