Anda di sini

Insiden rempuhan dekat konsulat Pakistan, 11 wanita Afghan maut

Advertisement
 Seorang wanita duduk di sebelah keranda ahli keluarganya yang terbunuh dalam insiden rempuhan di Jalalabad, semalam. — Gambar AFP
TRAGIK: Seorang wanita duduk di sebelah keranda ahli keluarganya yang terbunuh dalam insiden rempuhan di Jalalabad, semalam. — Gambar AFP

JALALABAD: Sekurang-kurangnya 11 wanita maut semalam dalam satu kejadian rempuhan di sebuah stadium di timur Afghanistan di mana ribuan telah berhimpun untuk memohon visa di sebuah konsulat Pakistan yang berdekatan.

Ramai orang telah dipijak ketika mereka cuba keluar dari stadium itu di kota Jalalabad, ibu kota wilayah Nangarhar, yang menyebabkan 10 lagi cedera, kata jurucakap hospital wilayah Zaher Adel.

“Malangnya pada pagi ini, puluhan ribu orang telah datang ke stadium bola sepak yang membawa kepada insiden yang tragis ini,” kata jurucakap gabenor wilayah Attaullah Khogyani.

Konsulat Pakistan mengeluarkan visa semula pada minggu lepas setelah jeda selama tujuh bulan disebabkan oleh wabak COVID-19.

Untuk mengelak orang ramai daripada berkumpul di pusat visa, pemohon telah diarah untuk pergi ke stadium bola sepak berhampiran di Jalalabad, kata Khogyani.

Di negara ultra-konservatif Afghanistan, ia adalah lazim bagi kaum wanita untuk berbaris berasingan daripada kaum lelaki.

Ribuan orang Afghan dari Nangarhar dan wilayah berdekatan lain telah tiba sejak awal pagi untuk memohon visa perubatan atau melawat saudara-mara. — AFP

Advertisement