Anda di sini

COVID-19: Satu kes baharu dilaporkan di Sarawak hari ini, babitkan warga emas

Advertisement
Statistik terkini kes COVID-19 di Sarawak setakat Khamis.
Statistik terkini kes COVID-19 di Sarawak setakat Khamis.

KUCHING: Sarawak merekodkan satu kes positif baharu COVID-19 melibatkan warga emas warganegara tempatan di Kuching.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata kes ke-770 itu telah dikesan positif COVID-19 melalui saringan semasa kemasukan ke hopital.

Kes juga merupakan kontak kepada kes positif COVID-19 yang telah dikenal pasti iaitu kes ke-768 yang dikesan pada 18 Oktober 2020 melalui saringan bergejala.

Menurut JPBNS semasa ujian saringan pada 18 Oktober 2020, kes telah menjalani saringan ujian rT-PCR dan didapati negatif pada 19 Oktober 2020.

"Bagaimanapun kes mengalami demam dan batuk sejak 14 Oktober 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 21 Oktober 2020.

"Semasa kemasukan ke HIS, kes telah diambil swab rT-PCR COVId-19 dan didapati positif pada hari ini. Ujian saringan menggunakan kaedah Rapid Test Kit Antibody juga mendapati kes reaktif terhadap igG dan IgM," jelasnya menerusi kenyataan hari ini.

Kes ke-770  juga mempunyai sejarah penyakit kencing manis, tekanan darah tinggi dan kandungan lipid darah tidak normal (dyslipidemia).

"Aktiviti pengesanan kontak rapat kepada kes ke-770 dan siasatan lanjut masih giat dijalankan," ujar JPBNS.

JPBNS juga memberitahu terdapat dua kluster COVID-19 masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Bah Arnad dan Kluster Putra di Bintulu.

Memperincikan Kluster Bah Arnab, JPBNS berkata jumlah kes positif melibatkan kluster itu kekal 12 orang termasuk kes indeks.

Manakala Kluster Putra Bintulu, tiada penambahan kes baharu dikesan melibatkan kluster berkenaan, menjadikan jumlah kes kekal enam orang termasuk kes indeks.

"Dimaklumkan juga, sembilan kes baharu telah pulih dan dibenarkan discaj dari hospital hari ini. Kesemua kes ini dari HUS.

" Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 telah pulih dan dibenarkan discaj setakat ini, 718 orang atau 93.25 peratus daripada jumlah keseluruhan kes (770) di Sarawak," jelas JPBNS.

Sementara itu, daerah Kuching, Bintulu dan Lubok Antu kekal berstatus Kuning dengan jumlah keseluruhan 18 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari.

"Ini menjadikan jumlah daerah masih berstatus kuning kekal tiga (Kuching, Bintulu dan Lubok Antu) manakala 37 daerah lagi kekal berstatus Hijau," tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement