Anda di sini

Sarawak pastikan budaya membaca seiring perkembangan era digital- Abang Johari

Advertisement
Abang Jo (tiga kiri) menyampaikan anugerah perpustakaan sebagai aset penting masyarakat kepada Setiausaha Majlis Daerah Sarikei, Sait Enggang.
Abang Jo (dua kanan) menyampaikan anugerah perpustakaan sebagai aset penting masyarakat kepada Setiausaha Majlis Daerah Sarikei, Sait Enggang.

SIBU: Budaya membaca harus bergerak seiring dengan era digital dalam usaha membangunkan rakyat di negeri ini  yang kaya ilmu pengetahuan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, amalan membaca perlu dipertingkatkan sungguhpun ramai di antara masyarakat lebih suka menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk mendapatkan maklumat dan menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Katanya, kerajaan negeri akan bersama-sama dengan Perpustakaan Negeri Sarawak sentiasa berusaha mengadakan insiatif bagi meningkatkan bilangan pembaca dalam kalangan masyarakat.

Abang Johari berkata, beliau percaya dengan menerusi aktiviti pendigitalan bahan bacaan, maka ia akan membantu meningkatkan amalan membaca dalam kalangan individu dewasa kerana kebanyakan mereka sukar menjalankan kehidupan harian mereka tanpa memegang telefon pintar.

"Era digital juga masih lagi berada pada peringkat awal perkembangannya. Bagaimanapun arah tuju serta sasarannya sedang berkembang dengan pantas, seiring dengan kemajuan teknologi yang mendasarinya. 

"Namun, pada hakikatnya ialah penciptaan serta penambahan nilai ini dalam teknologi digital sangat bergantung kepada ilmu pengetahuan dan daya kreatif mereka yang terlibat," katanya pada Majlis Perasmian Pustaka Sibu, di sini hari ini.

Menurut Abang Johari kerajaan beriltizam menjayakan strategi ekonomi digital sebagai dasar memajukan ekonomi Sarawak, menuju status negeri maju berpendapatan tinggi pada tahun 2030. 

Oleh itu katanya, banyak inisiatif telah laksanakan baik dalam membangunkan infrastruktur dan juga infostruktur. 

Selain daripada itu, program-program latihan dan inklusiviti digital juga turut dilaksanakan supaya tiada rakyat di negeri yang tertinggal daripada mendapatkan manfaat daripada kemajuan ekonomi Sarawak.

Menyentuh Pustaka Sibu, Abang Johari menjelaskan ia adalah bukti kepada iltizam kerajaan negeri bagi membangunkan sumber manusia yang ada. 

"Bukan sahaja merakyatkan sumber maklumat dalam pelbagai bentuk, Pustaka juga telah diamanahkan untuk menyebar luas kemahiran teknologi melalui program literasi digital. 

Hanya melalui penguasaan ilmu dan kemahiran sahajalah, masyarakat kita akan dapat memastikan diri mereka masing-masing tidak akan ketinggalan dalam apa jua inisiatif pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan," ujar beliau.

Abang Johari turut menyeru agar masyarakat Sibu khasnya, memanfaatkan kemudahan yang serba baru ini, bagi memenuhi keperluan maklumat sambil mempertingkatkan ilmu pengetahuan masing-masing.

Katanya, pelaburan kerajaan dalam pembangunan Pustaka Sibu akan membantu meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat di sini bertambah baik selain menjadikan Sibu sebagai 'Sibu a Learning City'.
 

  • oleh
  • Advertisement