Anda di sini

Penjaja pasar Jalan Tiong Hua kini di Jalan Chiew Siik Hiong

Advertisement
 Tiang (tengah) mendapat maklum balas daripada penjaja di lokasi sementara di Jalan Chiew Siik Hiong.
PRIHATIN: Tiang (tengah) mendapat maklum balas daripada penjaja di lokasi sementara di Jalan Chiew Siik Hiong.

SIBU: Seramai 36 penjaja pasar Jalan Tiong Hua telah berpindah ke tempat sementara untuk melakukan rutin niaga mereka sejak semalam.

Lokasi baharu di Jalan Chiew Siik Hiong itu sejauh satu kilometer dari tapak pasar asal mereka.

Ini berikutan bangunan pasar sedia ada terpaksa dirobohkan memandangkan struktur dindingnya mengalami retakan.

Keretakan struktur itu mula muncul sejak 17 September lalu, menyebabkan pihak Majlis Perbandaran Sibu (MPS) atas nasihat Jabatan Kerja Raya terpaksa mengeluarkan arahan penutupan atas alasan keselamatan.

Semalam merupakan hari pertama penjaja-penjaja mula berniaga di tapak sementara dengan waktu perniagaan mulai jam 5 pagi hingga 11 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pasar dan Peniaga Kecil MPS Kaunselor Albert Tiang berkata, hanya dua gerai menjual daging babi terpaksa menunggu lama sedikit untuk memulakan perniagaan mereka di situ.

“Jawatankuasa Kesihatan Awam perlu menangani masalah kesihatan awam terlebih dahulu sebelum mereka dapat memulakan perniagaan dan apabila sedia kelak, waktu perniagaan mereka ialah pada Isnin hingga Ahad kecuali Selasa dan Rabu,” katanya.

Tiang bagaimanapun berkata, semua penjaja yang terlibat akan berpindah sekali lagi ke tapak sementara kedua di hadapan pasar raya dalam tempoh tiga hingga empat bulan di hadapan pasar raya Doraemon yang sejauh kira-kira 400 meter.

“Mereka akan berpindah ke sana sebelum atau selepas perayaan Tahun Baharu Cina 2021.

“Kami akan membina struktur keluli untuk mereka di situ, “katanya.

Mengenai pembinaan bangunan pasar baharu di Jalan Tiong Hua, beliau mengandaikan bahawa kerja-kerja pembinaan akan mengambil masa satu hingga dua tahun.

“Ini akan bergantung kepada seberapa cepat kita dapat merancang pelan bangunan baharu tersebut dan juga kita perlu melalui beberapa agensi kerajaan yang merangkumi LCDA (Land Custody and Development Authority), Jabatan Tanah & Survei dan Jawatankuasa Reka Bentuk Bangunan Negeri,” katanya.

Bangunan lama itu akan dirobohkan setelah MPS mendapat laporan penilaian daripada Jabatan Kerja Raya.

Beliau memberi jaminan kepada penjaja bahawa MPS tidak akan melengah-lengahkan pelaksanaan projek.

“Kami akan membuat reka bentuk bangunan sementara menunggu bangunan lama akan dirobohkan dan bukannya sebaliknya.

“Ini akan mempercepatkan projek, “katanya.

Advertisement