Anda di sini

Mahkamah tolak tuntutan NCR

Advertisement
 Pihak plaintif di hadapan Kompleks Mahkamah Sibu bagi mendengar tuntutan mereka.
Pihak plaintif di hadapan Kompleks Mahkamah Sibu bagi mendengar tuntutan mereka.

SIBU: Seramai 173 orang penduduk rumah panjang dari Tanjung Manis gagal dalam tuntutan mereka ke atas tanah hak adat Bumiputera (NCR) di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Mereka menuntut tanah NCR yang terletak di kawasan Sungai Sebayang, Tusok, Batang Belawai, Tanjung Manis, Mukah yang berkeluasan kira-kira 15,000 hektar.

Pesuruhjaya Kehakiman Christopher Chin Soo Yin ketika membuat keputusan berkata, pihak plaintif gagal mengemukakan alasan yang kukuh bagi membuktikan mereka atau nenek moyang mereka telah mewujudkan tanah NCR itu sejak 1958.

Beliau memberitahu kenyataan pihak plaintif juga tidak sama dan wujud kekeliruan mengenai kawasan yang dituntut, sebaliknya mereka hanya merujuk kepada kawasan tertentu.

Seorang skasi pendakwa katanya, memberitahu dia atau ibu bapanya telah menerima pampasan dari pihak kerajaan.

"Kenyataan pihak plaintif adalah tidak kukuh bagi membuktikan sama ada wujud tanah NCR di kawasan yang dipertikaikan.

"Dengan kata ringkas, ketiadaan bukti yang kukuh bagi menyokong tuntutan, kenyataan pihak plaintif hanyalah satu andaian," ujarnya sambil menolak tuntutan pihak plaintif.

Plaintif yang diwakili oleh peguam Abdul Raafidin Majidi memberitahu akan terus berjuang bagi menuntut hak ke atas tanah NCR itu.

"Kita amat kecewa kerana gagal dalam tuntutan ini. Namun kita masih boleh membuat rayuan ke atas keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi ini.

"Perjuangan kita masih belum selesai. Kita mempunyai masa 10 hari untuk memfailkan rayuan," ujarnya.

Kes ini telah difailkan pada September 2019 setelah pajakan tanah (provisional land leases) diberikan kepada syarikat milik kerajaan negeri, Pusaka Capital Sdn Bhd pada 2017 dan 2018.

Dalam tuntutan yang menamakan kerajaan negeri dan Jabatan Tanah dan Survei sebagai defendan, plaintif mendakwa pajakan tanah itu telah menceroboh tanah NCR milik mereka dan telah memohon agar tanah itu disukat.
  
Plaintif turut mendakwa nenek moyang mereka telah mengusahakan serta bercucuk tanam di situ seawal tahun 1875 dan pemberian pajakan tanah itu telah melucutkan hak mereka ke atas tanah NCR tersebut.

Disamping menuntut surat hak milik tanah dan hak ke atas tanah NCR itu, pihak plaintif juga memohon injunksi bagi menghalang pihak Pusaka, kontraktof, subkontarktor dan pekerja daripada menceroboh, membersih, mengguna atau menduduki tanah NCR terbabit.

Mereka turut memohon injunksi bagi menghentikan semua operasi pihak Pusaka serta mengalihkan semua struktur, peralatan dan mesin di situ. 

Plaintif turut menuntut ganti rugi bagi kerosakan yang telah berlaku daripada pihak defendan.

  • oleh
  • Advertisement