Anda di sini

Komuniti peniaga di Sarawak perlu beralih kepada teknologi tangani impak COVID-19 

Advertisement
Abang Johari (dua kiri) memotong reben simbolik perasmian penyambungan bangunan UCA Sibu sambil diperhatikan (dari kiri) Dr Annuar, Ngieng dan Lau.
Abang Johari (dua kiri) memotong reben simbolik perasmian penyambungan bangunan UCA Sibu sambil diperhatikan (dari kiri) Dr Annuar, Ngieng dan Lau.

SIBU: Komuniti perniagaan di Sarawak diseru untuk menyesuaikan diri dengan cara baharu menjalankan perniagaan untuk memenuhi norma baharu ketika pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata wabak Covid-19 telah mengubahkan cara orang melakukan segala-galanya.

"Apa yang kita bimbangkan tidak ada indikasi bila wabak ini akan berakhir. Bahkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga tidak dapat meramalkannya.

"Bagi komuniti perniagaan, sekarang adalah masa untuk kita mencari jalan keluar bagaimana menjadikan ekonomi kita lebih berkesan selepas Covid-19," katanya pada Majlis Perasmian Penyambungan Bangunan Gabungan Persatuan Cina (UCA) Bahagian Sibu di sini hari ini.

Abang Johari memberitahu, untuk tujuan ini beliau telah menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC) yang anggotanya terdiri daripada sektor swasta dan awam, profesional dan ahli akademik.

Katanya, majlis itu mempertimbangkan apa yang harus dilakukan selepas Covid-19 termasuk dasar ekonomi Sarawak yang signifikan agenda ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar.

"Ini adalah dasar-dasar yang kita bincangkan sehingga kita dapat menjadikan Sarawak sebagai negeri maju atau paling maju di Malaysia menjelang 2030.

"Sekiranya kita ingin menjadikan negeri Sarawak maju atau paling maju maka kita perlu mengubah asas dan menambah nilai kepada sumber daya kita," ujarnya.

Mengenai kehutanan, Ketua Menteri berkata penanaman semula hutan menerusi teknologi hijau dan seterusnya mewujudkan ekonomi hijau.

Tambahnya, mereka juga mengkaji teknologi hidrogen sebagai asas baharu untuk teknologi hijau.

"Kita semua tahu bahawa China telah beralih menggunakan hidrogen sebagai teknologi hijau dan ini akan menjadi masa depan kita.

"Bagi ahli UCA yang majoriti ahli perniagaan, anda tahu apa yang anda lakukan dan kita harus berubah mengikut masa," katanya.

Hadir sama ialah Menteri Muda Pendidikan, Sains Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee, Temenggong Datuk Vincent Lau Lee Ming, Residen Bahagian Sibu Charles Siaw, Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Clarence Ting dan Presiden UCA Sibu Ngieng Ping Sing.

  • oleh
  • Advertisement