Anda di sini

JKKK diperkasa sebagai peneraju utama komuniti

Advertisement
 Safiee (depan, dua kiri) dan yang lain merakam kenangan bersama peserta Bengkel Kepolisan Komuniti Daerah Sibu bagi Zon Bukit Besai, Sungai Lengan dan Batang Lassa.
BINA SEPAKAT: Safiee (depan, dua kiri) dan yang lain merakam kenangan bersama peserta Bengkel Kepolisan Komuniti Daerah Sibu bagi Zon Bukit Besai, Sungai Lengan dan Batang Lassa.

SIBU: Kerajaan negeri akan terus memperkasakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kerana peranannya sebagai peneraju utama komuniti di peringkat akar umbi dalam agenda pembangunan negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad berkata, kejayaan atau kemajuan sesebuah kampung dan institusi masyarakat bergantung kepada urus tadbir dan kepimpinan yang cekap di peringkat JKKK.

Oleh itu katanya, peranan JKKK telah mendapat pengiktirafan dan penghormatan yang besar daripada kerajaan negeri selama ini.

“Kerajaan negeri sedar bahawa JKKK merupakan satu pentadbiran di peringkat akar umbi yang berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan.

“Kerana itu JKKK adalah sebuah jawatankuasa yang terpenting dalam memastikan perancangan kerajaan khususnya untuk meneruskan agenda pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan, pada masa yang sama mengekalkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Bengkel Kepolisan Komuniti Daerah Sibu bagi Zon Bukit Besai, Sungai Lengan dan Batang Lassa di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Beliau juga berkata, JKKK adalah salah satu cabang yang penting dalam pentadbiran negeri ini, yang mana jika tidak berfungsi dengan baik akan memberi kesan kepada seluruh sistem pentadbiran tersebut.

“Sebab itu kita mahu memperkasakan peranan JKKK ini bagi memastikan JKKK tidak mudah diperlekehkan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Sibu Suhaili Mohammed berkata program itu telah disertai 437 JKKK bagi daerah Sibu yang mana setiap JKKK diwakili tiga peserta.

Katanya, antara tujuan penganjuran bengkel tersebut adalah untuk mendedahkan ahli-ahli JKKK yang terlibat kepada norma baharu berikutan penularan wabak COVID-19 pada masa ini.

“Jumlah ahli JKKK yang menyertai program ini selama 15 siri adalah seramai 1,900 orang.

“Maksudnya semua JKKK di daerah ini telah didedahkan kepada norma baharu dan mereka dapat berperanan membantu kerajaan menangani penularan wabak ini di peringkat komuniti masing-masing,” katanya.

Advertisement