Anda di sini

Empat lelaki didakwa halang polis jalankan tugas di Plaza Tol Slim River

Advertisement
 Empat lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret Slim River semalam atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas sebagai pegawai polis berhampiran Plaza Tol Slim River pada Jumaat lepas. — Gambar Bernama
KE MUKA PENGADILAN: Empat lelaki dihadapkan di Mahkamah Majistret Slim River semalam atas pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugas sebagai pegawai polis berhampiran Plaza Tol Slim River pada Jumaat lepas. — Gambar Bernama

TANJUNG MALIM: Empat lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Slim River di sini semalam, atas pertuduhan menghalang penjawat awam iaitu polis menjalankan tugas berhampiran Plaza Tol Slim River, Jumaat lepas.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada P. Panneerselvan, 32, S. Vijandran, 41, A. Sivakumar, 28, dan R. Durai Raaj, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hidayah Ismail berikutan fakta kes tidak diakui, kerana kesemua mereka tidak memahami bahasa Malaysia.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa sengaja menghalang seorang anggota polis Muhd Syahrul Azuwan Ab Manaf daripada menjalankan tugasnya, dengan tidak memberi kerjasama setelah diberi amaran berulang kali untuk beredar dari lokasi kejadian, serta gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta berbuat demikian.

Panneerselvan, A. Sivakumar serta R. Durai Raaj yang merupakan pekerja trak tunda dan S. Vijandran yang tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Slim River, Slim River-Tanjung Malim kira-kira jam 3.30 pagi, 16 Oktober lalu.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya. — Bernama

Advertisement