Anda di sini

Dua bot nelayan tempatan bersama 12 kru termasuk tekong ditahan langgar syarat sah lesen

Advertisement
Kru nelayan yang ditahan untuk siasatan lanjut. 
Lima daripada kru nelayan yang ditahan bagi membantu siasatan.

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak telah menahan dua Bot Nelayan Tempatan (BNT) Kelas C dan C2 bersama 12 kru nelayan serta muatan ikan campur dengan berat 400 kilogram (kg) kerana disyaki melanggar syarat sah lesen di dua lokasi berbeza di perairan laut Bintulu pada Selasa.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, tangkapan pertama bot nelayan kelas C oleh aset Zon Maritim Bintulu pada kedudukan bawah 8.5 batu nautika daripada pantai pada jam 11.07 pagi Selasa.

Menurut Zin, bot tersebut disyaki menangkap ikan dengan cara menunda di luar zon yang dibenarkan iaitu berhampiran dengan kawasan pantai di perairan Bintulu.

 "Anggota penguat kuasa telah membuat pemeriksaan dan menahan tujuh kru terdiri daripada lima lelaki warga tempatan dan dua lelaki warga Indonesia dalam tangkapan pertama. 

"Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 15 hingga 59 tahun," ujarnya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, kesemua kru, bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan ikan campur dengan berat dianggarkan 100 kilogram (kg) dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut. 

Salah satu bot nelayan yang ditahan untuk siasatan lanjut.
Salah satu bot nelayan yang ditahan untuk siasatan lanjut.

Manakala tangkapan kedua katanya, dilakukan oleh aset Zon Maritim Miri yang sedang melaksanakan Operasi Khas Kuda Laut pada jarak lebih kurang 25.7 batu nautika dari Tanjung Batu  pada jam 4.20 petang Selasa.

 "Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang dari 30 batu nautika dan telah melanggar syarat yang tertera di dalam lesen yang dimiliki," jelasnya. 

Beliau berkata, seramai lima kru lelaki warga Indonesia termasuk tekong, berusia dalam lingkungan 23 hingga 42 tahun telah ditahan.

 "Kesemua kru, bot dan peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan dengan berat 300 kg ikan campur ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahan Vesel Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut," jelasnya. 

Beliau berkata, kedua-dua kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen. 

Dalam perkembangan lain beliau menyeru komuniti maritim sentiasa menjaga keselamatan di laut dengan mengamalkan pemakaian jaket keselamatan dan memantau ramalan cuaca terkini sebelum turun ke laut. 

Selain itu katanya, kerjasama daripada masyarakat terutamanya komuniti maritim dalam memberikan maklumat amat dialu-alukan bagi membantu Maritim Malaysia dalam membanteras jenayah di laut.


 

  • oleh
  • Advertisement