Anda di sini

Zuar tampil dengan album baru bersama Copero Viper

Advertisement
 Album sulung daripada Copero Viper yang diterbitkan oleh Rockstage Entertainment.
WALI PENDEKAR: Album sulung daripada Copero Viper yang diterbitkan oleh Rockstage Entertainment.

SIBU: Selepas lebih dua dekad berada di persada seni, Zuar kini tampil dengan album baru bersama kumpulan Copero Viper berjudul ‘Wali  Pendekar’.  

Masih lagi membarisi XPDC, Zuar menubuhkan Copero Viper sebuah band projek bersama dua lagi rakan lain yang pernah bernaung di bawah Viper iaitu Amy (dram) dan Lee (gitar utama) manakala tempat Ulai diisi oleh Wan.

Oleh itu, Copero Viper ini menghimpunkan ahli kumpulan atau individu yang cukup luas pengalaman dalam bidang muzik.

“Saya merasa cukup gembira apabila mendapat tawaran daripada sebuah syarikat rakaman, Rockstage Entertainment yang berminat untuk merialisasikan impian tertunda saya selama ini.

“Saya menghubungi anggota Viper yang lain iaitu Amy dan Lee untuk bekerjasama dan mereka setuju untuk terbabit dalam projek ini,” ujarnya.

Sebelum menubuhkan Viper, Zuar yang sebenarnya bermula sebagai penyanyi terlebih dahulu menubuhkan Copero dan hadir dengan sebuah album berjudul ‘Conqueror’ pada 2001.

 Tampil dengan album Wali Pendekar.
COPERO VIPER: Tampil dengan album Wali Pendekar.

Copero ketika itu dianggotai oleh Zuar selaku penyanyi dan pemain bass, Lee (gitar), Yuss (gitar) dan Zack (drum).

Selepas itu beliau tampil pula bersama Viper yang hadir dengan dua buah album iaitu ‘Evolusi’ dan ‘Perhentian Objektif’.

“Di bawah nama Copero Viper, kami bekerjsama untuk memberikan idea serta bekerja keras agar apa yang tertunda mahupun tertangguh sebelum ini direncahkan dalam satu resepi agar ianya berbaloi demi peminat mahupun pendengar yang menikmati lagu-lagu kami,” jelasnya.

Bagi Wan pula, beliau turut memberi komitmen yang jitu demi merealisasikan impian yang selama ini seakan ada halangan sewaktu merakamkan album yang cukup sarat dengan prosedur.

“Saya memang suka berkarya dan hanya ingin mengeluarkan idea kreatif yang ada untuk dikongsi kepada peminat muzik rock tanah air.

“Apabila Rockstage Entertainment menawarkan peluang keemasan ini untuk saya bersama Copero Viper merakamkan lagu baharu, sudah tentu ia tak boleh dilepaskan.

Nuansa muzik Copero Viper masih lagi berpaksikan rock namun ianya sedikit keras sejajar hasil penyatuan idea di antara muzik Copero dan Viper, yang mana satu ketika dahulu berjaya menakluki peminat ketika itu, buktinya album Viper terjual lebih 20 ribu unit.

Album terbitan Zuar itu memuatkan sepenuhnya lagu ciptaannya sendiri dan antara lagu yang pernah popular berjudul ‘Nekad’.

Ditanya juga kedudukan sebenarnya bersama XPDC, Zuar enggan mengulas lanjut dan meminta peminat menunggu perkembangan kerjayanya dalam muzik di samping kumpulan Copero Viper.

“Buat masa ini saya hanya mahu fokus pada perjuangan muzik Copero Viper. Ia adalah projek istimewa kami dalam usaha memenuhi permintaan peminat,” ujarnya.

‘Wali Pendekar’ terbitan Rockstage Entertainment sarat dengan elemen nusantara ini dirakamkan di Bakri Music Works tampil dengan enam buah lagu antaranya ‘Wali Pendekar’, ‘Kelasi Hiba’, ‘Rampas Dalam Diam’, ‘Permata Illahi’, ‘Rakusan Kuasa’ dan sebuah lagu instrumental ‘Kelasi Hiba’.

Advertisement