Anda di sini

Masyarakat pelbagai kaum, bertanggungjawab secara kolektif bangunkan Sarawak - KM

Advertisement
Abang Johari (belakang, kanan) bersama tetamu kehormat yang lain menunjukkan tanda bagus selepas majlis pelancaran pembinaan ibu pejabat DCF dan DCCI di Jalan Ong Tiang Swee di sini, hari ini. - Gambar oleh Chimon Upon.
Abang Johari (belakang, kanan) bersama tetamu kehormat yang lain menunjukkan tanda bagus selepas majlis pelancaran pembinaan ibu pejabat DCF dan DCCI di Jalan Ong Tiang Swee di sini, hari ini. - Gambar oleh Chimon Upon.

KUCHING: Masyarakat berbilang kaum di negeri ini harus bersama bertanggungjawab secara kolektif dalam membangunkan Sarawak agar dapat mencapai negeri maju menjelang tahun 2030.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak mempunyai pelbagai kaum yang terdiri daripada tiga kumpulan utama iaitu Dayak, Melayu-Melanau dan Cina.

"Maka itu kita perlu mempunyai platform yang sama untuk semua kaum dalam usaha kita membangunkan negeri ini kerana kita tahu tidak ada satu komuniti sahaja yang boleh menguruskan negeri ini.

"Sebaliknya ia memerlukan tanggungjawab kolektif dari semua kaum yang ada dan kerajaan negeri sedia ada kini sentiasa menyediakan dasar inklusif untuk semua kaum," katanya berucap pada majlis perasmian pembinaan Ibu Pejabat Yayasan Kebudayaan Sarawak (DCF) dan Dewan Perdagangan dan Industri Dayak (DCCI) di Jalan Ong Tiang Swee di sini, hari ini.

Abang Johari berkata, beliau melahirkan penghargaan kepada semua bangsa yang ada di Sarawak kerana sejak tiga tahun menjadi ketua menteri, beliau menerima maklum balas yang amat baik.

"Saya ketua menteri kepada semua bangsa di Sarawak dan sebab itu apabila saya dimaklumkan mengenai cadangan komuniti Dayak untuk membina bangunan ini demi memelihara kebudayaan mereka menerusi DCF dan penyertaan mereka dalam ekonomi menerusi DCCI, saya bersetuju meluluskan pembinaan bangunan kepada kedua-dua organisasi ini.

"Ini merupakan satu projek yang signifikan dalam pembangunan masyarakat Dayak di Sarawak dan menggambarkan bagaimana kerajaan kita yang mempunyai dasar inklusif kepada semua bangsa," tegasnya.

Menurut beliau, sebaik sahaja pembinaan ibu pejabat yang juga terdiri daripada dua menara masing-masing untuk DCF dan DCCI, ia akan menjadi wadah kepada komuniti Dayak untuk lebih maju di negeri ini.

Katanya, pembinaan projek berkenaan juga merupakan persediaan kepada komuniti Dayak untuk terus moden seiring dengan perubahan global dengan pada masa yang sama tidak hilang identiti budayanya.

"Kita telah menyasarkan Sarawak sebagai negeri maju di Malaysia menjelang tahun 2030 namun pada masa yang sama kita perlu menaik taraf persekitaran kita menerusi infrastruktur, bakat anak Sarawak serta perubahan global," katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam ucapannya turut melahirkan terima kasih dan penghargaan kepada ketua menteri kerana telah meluluskan tanah seluas 2.32 hektar bagi tujuan pembinaan bangunan berkenaan.

Malahan katanya, ketua menteri juga telah memperuntukkan RM20 juta untuk membina kedua-dua menara dan menerusi geran itu ia membolehkan kerja-kerja pembinaan dimulakan.

"Di atas tanah 2.32 hektar ini, kita akan membina dua menara yang terdiri daripada sembilan tingkat serta kediaman pangsapuri dan kondominium.

"Kos pembinaan bagi dua menara ini adalah bernilai RM36 juta dan kita sudah ada RM20 juta daripada kerajaan negeri. Kita memerlukan baki RM16 juta lagi," katanya sambil memberitahu bagi pembinaan kediaman pangsapuri dan kodominium, ia adalah projek komersial dan akan mengutip dana secara komersial.

Bagaimanapun katanya jawatankuasa memohon pertimbangan daripada kerajaan negeri tambahan baki RM16 juta terbabit yang akan digunakan membina kedua-dua menara.

  • oleh
  • Advertisement