Anda di sini

Kompleks UNIFOR platform perbincangan, berkumpul bagi ketua agama 

Advertisement
Abang Johari menyerahkan cek cura bernilai RM70 juta kepada Amanah Kebajikan UNIFOR bagi pembinaan kompleks kepada Uggah (dua kiri) yang disaksikan Awang Tengah (kanan) dan Nanta (kiri) sempena majlis pecah tanah kompleks UNIFOR. - Gambar Chimon Upon.
Abang Johari menyerahkan cek cura bernilai RM70 juta kepada Amanah Kebajikan UNIFOR bagi pembinaan kompleks kepada Uggah (dua kiri) yang disaksikan Awang Tengah (kanan) dan Nanta (kiri) sempena majlis pecah tanah kompleks UNIFOR. - Gambar oleh Chimon Upon

KUCHING: Kompleks Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) akan menjadi wadah kepada ketua-ketua agama berkaitan berkumpul dan berbincang mengenai agama serta cara hidup, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata dengan cara hidup yang kini semakin berubah oleh kerana peredaran masa serta pengaruh media sosial, platform agama memainkan peranan dalam usaha mengekalkan terutamanya perpaduan pelbagai kaum dan agama.

"Dengan adanya media sosial kini, kadang kala jika kita tidak kuat dalam kepercayaan atau agama, anda boleh dipengaruhi oleh media sosial.

"Ini berlaku di negara-negara lain dimana kepercayaan agama semakin hilang, ada yang tidak pergi ke gereja dan ke tempat ibadat masing-masing," katanya berucap sempena merasmikan Majlis Pecah Tanah Kompleks UNIFOR Sarawak yang dihadiri Timbalan Ketua Menteri juga menteri bertanggungawab UNIFOR, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di tapak pembinaan di Jalan Ong Tiang Swee di sini, hari ini.

Di Sarawak kata Abang Johari bagi mengekalkan perpaduan pelbagai kaum kerajaan telah mewujud UNIFOR agar agama bukan Islam dapat dijaga kebajikannya.

"Di negeri kita, saya menyuarakan agar agama-agama lain selain Islam harus dijaga kebajikannya menerusi UNIFOR.

"Saya percaya menerusi bangunan UNIFOR ini nanti, ia menjadi wadah kepada ketua-ketua agama berkumpul dan berbincang mengenai agama serta cara hidup kita," katanya.

Tambah Abang Johari, kompleks UNIFOR itu juga melambangkan keharmonian agama dan bangsa di negeri ini.

Katanya menerusi keharmonian agama itu juga diharap akan mengekalkan perpaduan rakyat pelbagai kaumnya demi masa depan Sarawak.

"Kami pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) tetap dengan dasar kami yang inklusif dan ia dapat dilihat apabila ada cadangan untuk membina bangunan UNIFOR ini.

"Rakan-rakan di kabinet semuanya menyokong pelan pembinaan ini dan dengan sokongan itulah kita berada di sini, hari ini," tegasnya.

Sementara itu, Uggah dalam ucapannya berkata, ia merupakan hari amat bersejarah bagi UNIFOR dan rumah ibadat bukan Islam seperti Kristian, Buddha, Sikh, Tao, Konfusius, Bahai dan sebagainya.

Katanya, kompleks berkenaan dibangunkan di lokasi yang bukan sahaja strategik tetapi dikawasan perdana di bandar raya ini dan dalam masa dua tahun dari sekarang UNIFOR akan megah dengan sebuah kompleksnya sendiri.

"Pembinaan kompleks ini merupakan satu milestone (peristiwa penting) dalam sejarah UNIFOR. Bangunan setinggi 10 tingkat ini akan mempunyai ciri-ciri konsep bangunan hijau dan mempunyai tempat mesyuarat dua tingkat, dewan jamuan yang boleh menempatkan 1,000 orang jemputan, ruang tertutup sebahagian di bumbing dan ruang komersial.

"Kompleks yang serba megah ini nanti akan menjadi mercu tanda perpaduan antara para penganut agama di Sarawak," katanya.

Menurut Uggah di Sarawak, Jabatan Agama Islam (JAIS) dan UNIFOR akan terus bekerjasama dalam memainkan peranan mereka membantu kerajaan mengukuhkan lagi perpaduan dikalangan rakyatnya.

Uggah berkata, kompleks UNIFOR akan dibina diatas tanah seluas 1.214 hektar yang diluluskan kerajaan negeri dan telah menerima peruntukan geran RM70 juta bagi tujuan pembinaannya.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Amar Michael Manyin Jawong.


 

  • oleh
  • Advertisement