Anda di sini

COVID-19: Satu kes import di Sarawak hari ini

Advertisement
 

KUCHING: Seorang wanita warganegara Indonesia dikesan positif COVID-19 apabila dibenarkan masuk ke Sarawak atas urusan mengiringi seorang pesakit barah untuk dirawat di hospital swasta di sini.

Menurut kenyataan media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), kes ke-769 ini tiba dari Kalimantan Barat melalui kebenaran menerusi Pelancongan Perubatan pada 19 Oktober melalui pintu sempadan Tebedu, Serian.

“Kedua-kedua individu ini telah menjalani ujian saringan COVID-19 pada hari sama (mereka tiba). Mereka juga ditempatkan di bawah arahan kuarantin di hospital yang akan merawat pesakit barah tersebut. 

“Keputusan ujian saringan yang dijalankan di makmal swasta di Kuching mendapati kes ini positif COVID-19 pada hari sama. 

“Pesakit yang akan dirawat pula didapati negatif ujian saringan COVID-19,” kata kenyataan JPBNS, hari ini.

Kes tidak menunjukkan tanda dan gejala jangkitan COVID-19 dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, daerah Sibu bertukar daripada status kuning kepada hijau setelah tiada kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas. 

Daerah Kuching, Bintulu dan Lubok Antu kekal Kuning dan dengan jumlah keseluruhan seramai 21 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari lepas.
 
Jumlah daerah yang masih kuning ialah tiga daerah dan 37 daerah lain di Sarawak kekal Hijau.
 

  • oleh
  • Advertisement