Anda di sini

Suami isteri dituduh bunuh wanita sebahagian badan disumbat dalam bagasi

Advertisement
Seow diiringi polis di pekarangan mahkamah, hari ini.

SIBU: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini bagi pertuduhan membunuh seorang wanita berusia 37 tahun yang mayatnya dijumpai dalam keadaan sebahagian badan disumbat ke dalam bagasi di tepi Jalan Aman pada 6 Oktober lalu.

Tertuduh, Seow Pei Chie dan suaminya, Cheung Chia Ming yang masing-masing berusia 38 tahun dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Wan Ali.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mahkamah menetapkan 19 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Sementara menunggu tarikh terbabit, kedua-dua tertuduh diperintah ditahan reman lanjut.

Cheung diiringi polis di mahkamah, hari ini.
Cheung diiringi polis di mahkamah, hari ini.

Pendakwaan dikendalikan pegawai penyiasat ASP Che Intan Subri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Seow dari Subang Jaya, Selangor, dan Cheung dari Jalan Tun Sambathan, Kuala Lumpur dituduh melakukan pembunuhan hingga menyebabkan kematian Heng Meow Lin, 37, di sebuah rumah di Jalan Tong Sang, antara 5 Oktober sekitar jam 10 malam hingga 6 petang pada 6 Oktober.

Mayat mangsa yang sebahagian badannya disumbat ke dalam beg ditemui di tepi Jalan Aman pada 6 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit sebelum ini memberitahu bedah siasat terhadap mayat mangsa telah dilakukan pada 13 Oktober lalu.

Ujar beliau, cemburu dan masalah kewangan dipercayai menjadi motif kes pembunuhan wanita malang itu.

"Hasil bedah siasat menunjukkan bahawa mangsa mengalami kecederaan akibat 'asphyxia' (dipercayai dicekik) dan kecederaan kepala akibat hentakan benda tumpul," jelas beliau sebelum ini.


 

  • oleh
  • Advertisement