Anda di sini

Sarawak pertimbang gubal undang-undang untuk tuntut kredit karbon sebagai komoditi perdagangan

Advertisement
Abang Johari merasa produk makanan berasaskan sagu yang dihasilkan oleh CRAUN yang dipamer sempena majlis menandatangani MoA antara CRAUN dan Knowledge Integration Services (Singapore) Pte. Ltd dan Nitsei Sago Industries Sdn Bhd - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi.
Abang Johari meneliti produk makanan berasaskan sagu dihasilkan oleh CRAUN yang dipamer sempena majlis menandatangani MoA antara CRAUN dan Knowledge Integration Services (Singapore) Pte. Ltd dan Nitsei Sago Industries Sdn Bhd, hari ini. - Gambar oleh Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak perlu menggubal undang-undang baharu bagi membolehkannya menuntut kredit karbon sebagai komoditi perdagangan.

Beliau berkata ketika ini tidak ada peruntukan dalam undang-undang sedia ada di negeri ini untuk menjadikan kredit karbon sebagai komoditi perdagangan.

Difahamkan kredit karbon merupakan keizinan membolehkan sesebuah negara atau organisasi menghasilkan sejumlah pelepasan karbon yang boleh diperdagangkan jika peruntukan penuh tidak digunakan.

"Kalau Sarawak dapat menghasilkan teknologi hijau, kita dapat menjadi negeri yang berkait dengan kredit karbon, kita boleh menuntut untuk kredit karbon.

"(Dan) terpaksa kita memperbaiki undang-undang sedia ada kerana ketika ini tidak ada peruntukan di dalam undang-undang kita menjadikan kredit karbon sebagai komoditi perdagangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara CRAUN Research Sdn Bhd (CRAUN) dan Knowledge Integration Services (Singapore) Pte. Ltd dan Nitsei Sago Industries Sdn Bhd di sebuah hotel di sini hari ini.

Abang Johari berkata Sarawak telah memulakan pengeluaran tenaga hijau sejak beberapa tahun lalu dan salah satu projek projek berkenaan menunjukkan kejayaan ialah menghasilkan biogas menggunakan sisa cecair sagu bagi kegunaan isu rumah dibangunkan oleh CRAUN.

Menurutnya Projek Loji Rintis Rawatan Sisa Cecair Sagu itu yang dibangunkan di Kampung Tabo Mukah telah mula beroperasi sejak Mei 2019 menghasilkan sumber gas memasak alternatif yang hijau, lestari  dan murah berbanding gas komersial seperti gas asli cecair (LPG).

"Saya telah dimaklumkan produk-produk dihasilkan daripada usaha-usaha rawatan sisa cecair sagu satu-satunya ialah menghasilkan tenaga keduanya tentu mengeluarkan sisa cecair yang bersih dan ketiga ialah mengeluarkan biogas.

"Oleh itu, saya merasakan sudah sampai masanya untuk kita mengkaji salah satu produknya iaitu biogas dapat ditambah nilai dan digunakan oleh masyarakat setempat sama ada untuk memasak atau tujuan lain kerana ia mengandungi metana," katanya.

Beliau berkata sekiranya Sarawak mampu menghasilkan biogas daripada sisa-sisa industri khasnya sagu, ia antara usaha kerajaan negeri mengeluarkan hasil daripada teknologi hijau.

"Kampung Teh di Balingian (Mukah) dan Kampung Tabo boleh menjadi kampung perintis untuk mengeluar serta menggunakan biogas daripada sisa cecair sagu.

"Saya berharap CRAUN dapat menentukan keadah pengagihan biogas ini yang selamat kepada masyarakat untuk memasak," katanya.

Abang Johari juga mencadangkan agar CRAUN melakukan penyelidikan sama ke atas sisa industri kepala sawit untuk menghasilkan produk boleh guna khususnya biogas.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michael Manyin Jawong; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah; Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee; Ketua Pegawai Eksekutif CRAUN Zaidell Husaini; wakil Nitsei Sago Industri Sdn Bhd Ng Yong Kiang; dan wakil Knowledge Integration Services (Singapore) Sdn Bhd Dino Bidari.

  • oleh
  • Advertisement