Anda di sini

Sarawak fokus pengeluaran biji benih hibrid untuk kembangkan pembangunan pertanian

Advertisement
Uggah bersama Setiausaha Majlis Daerah Betong Charlie Keling dalam lawatan hari ini.
Uggah bersama Setiausaha Majlis Daerah Betong Charlie Keling dalam lawatan hari ini.

KUCHING: Kerajaan negeri telah mengambil inisiatif untuk memfokuskan pengeluaran biji benih hibrid yang berkualiti di Pusat Pertanian Debak di bahagian Betong.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mempunyai bekalan biji benih berkualiti yang mencukupi dan konsisten adalah komponen yang sangat penting dalam program pembangunan pertanian negeri.

Beliau menambah, ini kerana memiliki biji benih yang tepat adalah tonggak pertumbuhan pertanian.

"Jabatan Pertanian Negeri pada bulan September baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Green World Genetics (GWG) Sdn. Bhd. untuk membangunkan kawasan itu bagi tujuan tersebut.

"GWG adalah organisasi berasaskan penyelidikan dari Kuala Lumpur yang khusus dalam penghasilan biji benih hibrid tropika berkualiti tinggi dan peningkatan produk pertanian.

"Justeru, dengan memorandum tersebut, syarikat itu dilesenkan untuk membuat pusat pengeluaran benih, kilang pengeluaran dan pemprosesan biji benih yang berkualiti serta menyediakan latihan seperti melakukan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan," katanya ketika melawat Pusat Pertanian Debak seluas 27.59 hektar hari ini.

Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah berkata, dalam konteks pertanian moden, petani tidak boleh menanam benih begitu sahaja.

“Sebaik-baiknya, benih mesti bersesuaian keadaan tanah, tahan penyakit dan dapat meningkatkan produktiviti,” katanya.

Menurut statistik terbaru dari Pertubuhan Biji Benih Sedunia, beliau berkata, Malaysia mengimport 2,665 tan biji benih tanaman sawah bernilai AS $10 juta dan 669 tan biji benih sayur-sayuran bernilai AS $6 juta.

"Di Sarawak, kita masih belum memiliki sebarang fasiliti pengeluaran biji benih... sebuah kawasan yang memfokuskan pengeluaran biji benih yang berkualiti.

"Itulah sebabnya kita memberi GWG peluang untuk menghasilkan biji benih. Syarikat akan bermula dengan biji benih jagung kemudian padi di samping sayur-sayuran dan tanaman lain yang ingin dilakukan," katanya. 

Uggah menambah pihaknya juga akan mendidik petani untuk menghasilkan biji benih menggunakan teknologi.

"Ketika petani yang menghasilkan, sebagai contoh jagung, ia bukan untuk diguna segera tetapi bagi menghasilkan biji benih yang dijual kepada pihak lain yang ingin menanam tanaman itu."

Beliau berkata syarikat itu dijangka memulakan operasinya setelah kerja-kerja penyediaan tapak sekarang selesai.

  • oleh
  • Advertisement