Anda di sini

Persiapan hadapi SUKMA Johor

Advertisement
 Antara pasukan yang berentap pada Kejohanan Bola Keranjang '1-3-2-1' PSS.
UJI PRESTASI: Antara pasukan yang berentap pada Kejohanan Bola Keranjang '1-3-2-1' PSS.

KUCHING: Persatuan-persatuan sukan di Sarawak yang terlibat dengan Sukan Malaysia (SUKMA) disaran menganjurkan pertandingan dalam persiapan menghadapi temasya sukan itu di Johor tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) Dr Ong Kong Swee berkata, penganjuran pertandingan itu penting supaya prestasi dan pencapaian para atlet SUKMA Sarawak dapat diukur.

ONG
ONG

"Kami mengharapkan lebih banyak pertandingan sekurang-kurangnya mereka (atlet) dapat menguji dan melihat sejauh mana prestasi mereka.

"Justeru, kita berharap persatuan-persatuan sukan yang terlibat dengan SUKMA kalau boleh adakan pertandingan minimum sekali bulan atau maksimum dua minggu sekali," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kejohanan Bola Keranjang '1-3-2-1' PSS di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini semalam.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) itu menegaskan, pihaknya telah memohon agar semua persatuan terlibat dengan SUKMA harus mengadakan pertandingan.

"Kalau berlatih sahaja kita tidak tahu dan tidak dapat mengukur tahap atlet kita, sebab itu pentingnya penganjuran pertandingan ini," tambah Dr Ong.

Jelas beliau lagi, persatuan sukan di negeri ini boleh menjalankan pertandingan di peringkat tempatan sebagai pendedahan untuk para atlet sebelum beraksi pada SUKMA di Johor kelak.

"Sekurang-kurangnya kamu (persatuan sukan) buat pertandingan peringkat tempatan di negeri ini supaya kita boleh mengukur dan membetulkan taktik dan strategi serta meningkatkan kebolehan para altet kita sejauh mana mereka boleh capai," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar setiap persatuan sukan yang terlibat dengan latihan atlet SUKMA mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.  

Katanya, meskipun penularan pandemik COVID-19 sedikit mengganggu persiapan para atlet SUKMA namun sesi latihan tetap dijalankan mengikut peraturan dan arahan semasa yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

"Arahan daripada JPBNS itu penting, kita kena peka setiap peraturan dan arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa," tambahnya.

Mengenai kejohanan bola keranjang itu, Dr Ong berharap pertandingan seperti itu dapat diperluaskan ke bahagian lain di negeri ini bagi memperkasakan sukan tersebut khasnya para atlet SUKMA.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya sudah mempunyai senarai panjang atlet SUKMA yang akan mewakili Sarawak dalam temasya sukan tersebut di Johor nanti.

Tambahnya, penilaian senarai berkenaan masih dilakukan dan senarai pendek dijangka akan diputuskan nanti.

  • oleh
  • Advertisement