Anda di sini

Perkukuh integriti, NREB Sarawak bakal laksana Pelan Pengurusan Risiko Rasuah

Advertisement
Justine (kiri) menyerahkan Buku Panduan Pelaksanaan EKSA NREB kepada Zaidi.
Justine (kiri) menyerahkan Buku Panduan Pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam NREB kepada Zaidi.

KUCHING: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak bakal melaksanakan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah sebagai langkah ke arah memperkukuhkan tadbir urus baik yang bebas daripada rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. 

Kontroler Kualiti Alam Sekitar NREB Sarawak, Justine Jok Jau Emang berkata pelaksanaan pelan ini adalah digalakkan dalam setiap organisasi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). 

Sehubungan itu katanya, NREB Sarawak dalam satu bengkel yang diadakan Februari tahun ini telah menyediakan pelan tersebut dan diluluskan untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun. 

“Sebelum pelan ini dapat dilaksanakan, pihak NREB masih perlu mengadakan Bengkel Pembangunan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP). 

“Bengkel ini akan diadakan bersama-sama dengan Unit Integriti dan Ombudsman Negeri (UNION) dalam masa terdekat. 

“Saya berharap OACP ini dapat disiapkan selewat-lewatnya sebelum suku pertama tahun 2021 supaya NREB dapat melaksanakan pelan ini seperti yang dirancang,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Integriti dan Inovasi 2020 NREB Sarawak di sebuah hotel di sini hari ini. 

Majlis tersebut dihadiri dan dirasmikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Sr. Zaidi Mahdi. 

Terdahulu dalam ucapannya, Justine berkata NREB sebagai sebuah agensi kerajaan komited untuk memastikan warga kerjanya membudayakan amalan integriti. 

Sehubungan itu katanya bagi mengukuhkan integriti dalam kalangan warga kerjanya, NREB seperti yang dimaklumkan semasa Hari Integriti dan Inovasi Tahun 2019 DI Bintulu telah mencadangkan penubuhan Unit Integriti. 

Beliau berharap penubuhan unit ini dapat direalisasikan selewat-lewatnya pada akhir tahun 2020 apabila cadangan penstrukturan semula NREB diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kelak. 

Sementara itu, Zaidi dalam ucapannya berkata seperti yang dinyatakan NREB telah menyiapkan Pelan Pengurusan Risiko Rasuah dan tempoh pelaksanaannya adalah selama lima tahun. 

Untuk makluman katanya, pihak kementerian juga telah menyiapkan pelan yang sama dan dilaksanakan sejak tahun 2019. 

Justeru beliau berharap agar pihak NREB dapat menyediakan OACP dan melaksanakan pelan tersebut secepat mungkin supaya isu-isu yang berkaitan dengan integriti, kerenah birokrasi, sistem dan prosedur yang lemah boleh ditambah baik. 

Pada majlis itu Zaidi turut melancarkan Buku Panduan Pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam NREB diikuti dengan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang bagi tahun 2019. 

  • oleh
  • Advertisement