Anda di sini

New Zealand mengesahkan kes baharu COVID-19 pasca-PRU

Advertisement
 Gambar fail 13 Oktober menunjukkan Ardern berucap di hadapan hadirin dan para pelajar semasa jelajah kempen di Universiti Victoria di Wellington menjelang pilihan raya umum 17 Oktober lalu. — Gambar AFP
TIADA SOP: Gambar fail 13 Oktober menunjukkan Ardern berucap di hadapan hadirin dan para pelajar semasa jelajah kempen di Universiti Victoria di Wellington menjelang pilihan raya umum 17 Oktober lalu. — Gambar AFP

WELLINGTON: New Zealand mengesahkan satu kes komuniti baharu COVID-19 semalam, dua minggu selepas Perdana Menteri Jacinda Ardern mengumumkan negara Pasifik Selatan itu sekali lagi mengatasi virus tersebut.

Pengarah Urusan Kesihatan Ashley Bloomfield menyatakan kes terkini melibatkan seorang pekerja bahagian pelabuhan yang kembali dengan keputusan ujian positif tengah hari kelmarin.

“Disebabkan individu terbabit menjalani ujian ketika mengalami simptom, Kementerian Kesihatan sempat mengasingkan kontaknya yang paling dekat,” menurut Bloomfield.

Pesakit terbabit tambahnya, berpotensi dijangkiti seawal 14 Oktober.

Pengumuman muncul sehari selepas Parti Buruh pimpinan Ardern merangkul kemenangan besar dalam pilihan raya, dengan cara pengurusan kerajaan terhadap pandemik tersebut yang mendapat pujian meluas sebagai satu faktor.

Sebelum pilihan raya, Ardern yang mana parti beliau telah memenangi 64 kerusi dalam parlimen 120 kerusi, menggelarnya sebagai 'pilihan raya COVID'.

Kira-kira 3.4 juta orang mendaftar sebagai pengundi dalam pilihan raya 17 Oktober lalu yang sepatutnya diadakan pada 19 September tetapi tertangguh berikutan penularan COVID-19 di Auckland.

Beliau berkempen mengenai kejayaan kerajaannya dalam menghapuskan penyebaran virus dalam komuniti, yang hanya menyebabkan 25 kematian daripada lima juta populasi.

New Zealand mengumumkan pada Mei ia telah menewaskan penyebaran koronavirus dalam komuniti, walaupun satu kluster baharu muncul di Auckland pada Ogos sekali gus memaksa bandar terbesar di negara itu kembali menjalani kawalan pergerakan selama beberapa minggu. — AFP

Advertisement